Pengusaha bas persiaran desak campur tangan kerajaan

Iklan
Wakil syarikat pengusaha bas persiaran bergambar selepas menghantar surat kepada enam kementerian di Putrajaya.

PUTRAJAYA - Sepucuk surat yang mewakili lebih 6,000 pengusaha bas persiaran di semenanjung semalam dihantar kepada enam kementerian berkaitan termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memohon kerajaan untuk mengarahkan syarikat kredit memberi moratorium pinjaman berjadual selama setahun.

Ia bagi mendesak kerajaan campur tangan untuk mengarahkan syarikat kredit memberi pengecualian bayaran balik pinjaman pembelian bas susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang memberi kesan teruk kepada perusahaan mereka.

Iklan
Iklan

Wakil pengusaha bas persiaran, Abdul Aziz Ismail Ghani berkata, antara kementerian terlibat ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pejabat Perdana Menteri.

"Kita membuat keputusan untuk menghantar surat kepada enam kementerian ini susulan satu sidang media yang diadakan pada awal bulan lalu dengan harapan supaya kerajaan mendengar suara dan rintihan kami.

Iklan

"Kami sangat berharap agar kerajaan dapat memberi arahan kepada syarikat kredit untuk turut menangguhkan bayaran pinjaman seperti mana yang dilaksanakan bank ketika ini.

"Rata-rata pengusaha bas persiaran telah mula sejak awal tahun lagi dan kini punca pendapatan hilang sepenuhnya hingga tidak mampu lagi membayar gaji pekerja apatah hutang pinjaman dengan syarikat kredit," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menyerahkan surat di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Iklan

Katanya, ketika ini juga, pengusaha bas persiaran berdepan risiko tinggi mengalami bankrap.

"Kita tidak tahu berapa lama lagi industri pelancongan akan kembali pulih apabila hampir kesemua sumber pendapatan kami melibatkan pelancong luar negara.

"Jadi, kami merayu agar perkara ini mendapat perhatian kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk membantu golongan seperti kami ini," katanya.