Tiada kes positif Covid-19 dikesan di pasar awam Selayang Baru

Iklan
Petugas Kementerian Kesihatan sibuk melakukan saringan Covid-19 kepada para peniaga dan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Beringin Taman Sri Gombak hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tiada kes positif koronavirus (Covid-19) setakat ini dikesan dalam kalangan 335 pekerja dan peniaga di Pasar Awam Selayang Baru yang menjalani ujian saringan kesihatan pada 8 Mei lepas, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan untuk satu lagi sampel ujian itu belum diketahui.

Iklan
Iklan

"Saringan juga sudah dilakukan di Pasar Awam Rawang ke atas seramai 317 peniaga dan pekerja dua hari lepas dan keputusan belum diketahui,” katanya kepada pemberita selepas meninjau saringan Covid-19 di Taman Sri Gombak, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, program ujian saringan hari ini tertumpu kepada 250 peniaga dan pekerja di pasar awam Sri Gombak dan Taman Ehsan selain pekerja barisan hadapan yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru.

Iklan

"Ahli Majlis MPS juga dikehendaki menjalani ujian saringan memandangkan mereka berjumpa dengan orang ramai semasa melaksanakan tugas,” katanya.

Katanya, terdapat juga peniaga dan pekerja tidak menghadiri ujian berkenaan walaupun sudah dimaklumkan terlebih dahulu.

Iklan

"Namun, jika mereka didapati ingkar arahan, mereka tidak dibenarkan untuk menjalankan operasi perniagaan atau bekerja di situ,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah di pasar awam itu. - Bernama