Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi, 37, meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersikap adil dalam menangani isu tunggakan gaji yang terus ‘membelit’ badan induk itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Badhri atau lebih mesra disapa Piya, KAFA tidak seharusnya membelakangkan pemain tempatan yang sehingga kini masih menanti tunggakan gaji masing-masing.
"Kalau (tunggakan gaji) pemain import boleh bayar, kenapa pemain local (tempatan) tak boleh bayar pula? Sepatutnya KAFA bersikap lebih adil untuk melunaskan tunggakan gaji pemain-pemain tempatan yang masih belum selesai.
"Tetapi kenapa nak bayar (tunggakan gaji) kepada pemain import sahaja? Pemain tempatan belum bayar lagi. Kalaulah pemain import itu (Cassio) tak lapor kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) mungkin orang tak tahu tetapi sekarang dah jadi kecoh,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Piya berkata, dia juga mahu KAFA melunaskan tunggakan gajinya sekalipun sedar bekas majikannya dihimpit dengan masalah kewangan di sebalik penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
"Macam saya, jumlah tunggakan gaji saya berjumlah lebih RM300,000. KAFA janji bayar pada setiap 5 haribulan, tiap-tiap bulan. Pada Januari, Februari dan Mac sudah dibayar tetapi April dan Mei belum lagi dibayar.
"Kali terakhir saya menghubungi pihak KAFA kira-kira dua minggu lalu dan saya dimaklumkan masih tiada (bayaran tunggakan gaji) untuk saya,” jelasnya yang menyarung jersi Kelantan selama lebih 10 tahun.
Justeru, Piya berharap pengurusan KAFA dapat berbuat sesuatu dalam usaha melunaskan tunggakan gajinya termasuk pemain tempatan dan import yang lain.
"Jika kesemua pemain terbabit membuat laporan terus kepada pihak FIFA sebagaimana yang dilakukan Cassio, ini boleh mengakibatkan KAFA ‘tutup kedai’ disebabkan jumlah tuntutan yang tinggi.
"Memanglah sekarang KAFA ada membuat kutipan (derma) untuk selamatkan bola sepak Kelantan tapi sampai bila? Nanti dah selesai tunggakan gaji Cassio, (kes pemain) lain pula keluar nak kena kutip derma lagi,” ujarnya.
Sebelum ini, KAFA telah melancarkan kutipan derma daripada orang ramai terutamanya peminat dan penyokong The Red Warriors dalam usaha melunaskan tunggakan gaji Cassio berjumlah RM629,620.28.
Sebelum ini, FIFA memberikan tempoh sebulan bermula 23 April lalu kepada KAFA untuk menjelaskan hutang kepada Cassio jika tidak mahu dikenakan sebarang hukuman berat.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat KAFA, Husin Deraman memaklumkan, pihaknya telah mengumpul RM9,582 hasil kutipan derma orang ramai setakat petang semalam.