Program Musa'adah Covid-19 salur bantuan lebih RM135 juta

Iklan
Dr Zulkifli (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada seorang warga emas pada program Bantuan Hari Raya Kepada Golongan Asnaf hari ini. - Foto Bernama

NILAI - Program Musa'adah Covid-19 yang dilaksanakan sejak dua bulan lepas bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak itu setakat ini menyumbang bantuan bernilai lebih RM135 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata bantuan itu disalurkan kepada pelbagai golongan yang memerlukan termasuk orang Asli dan masyarakat bukan Islam.

Iklan
Iklan

"Kita nak sekurang-kurangnya mereka ada makan dan minum. Justeru, bantuan sama ada (barangan) bersifat kering atau basah disalurkan oleh pelbagai agensi (Hal Ehwal Agama) di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Bantuan Musa'adah Covid-19 menjelang Aidilfitri kepada asnaf Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Mohamed Husein, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Ruslan Said, Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Mohd Zaidi Ramli dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Baitulmal negeri Nor Azmi Musa.

Iklan

Dalam pada itu, Zulkifli mahu kolaborasi membabitkan agensi agama seperti yang dilakukan Jawhar bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam menyantuni asnaf dan kumpulan berpendapatan rendah (B40), yang merupakan usaha yang terpuji harus terus dipergiatkan.

"Melalui kerjasama seperti ini, saya harap insya-ALLAH Jawhar dan saya akan cuba libatkan lagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama lain untuk membantu di semua negeri termasuk di Negeri Sembilan," katanya. - Bernama

Iklan