Lapangan Terbang Antarabangsa Senai tingkat prosedur perjalanan

Iklan
Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) - Foto fail internet

KUALA LUMPUR - Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah mempertingkatkan prosedur perjalanan dan memperkenalkan langkah-langkah baharu untuk memastikan keselamatan kesihatan penumpang berikutan syarikat penerbangan menyambung semula penerbangan domestik secara berperingkat untuk minggu-minggu akan datang.

Pengendali lapangan terbang itu, Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATS), berkata antara langkah dan prosedur tambahan berkenaan termasuk mewajibkan semua penumpang dan pengguna lapangan terbang memakai topeng muka dan menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu masuk lapangan terbang dan membenarkan mereka yang mempunyai suhu di bawah 37.5 darjah Celsius sahaja memasuki bangunan.

Iklan
Iklan

"Untuk memastikan prosedur itu dipatuhi sepenuhnya, pintu masuk dan keluar ke bangunan terminal hanya terbatas di pintu masuk utama dan dikendalikan oleh anggota keselamatan lapangan terbang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata lapangan terbang itu juga telah mengambil inisiatif untuk menggalakkan penjarakan sosial dengan meletakkan tanda pemisah satu meter di kawasan umum termasuk kaunter daftar masuk, kawasan tempat duduk, pintu masuk, lif, kawasan pengambilan bagasi dan lain-lain.

Iklan

"Sementara itu, cecair pembasmi kuman, sabun dan air disediakan di sekitar kawasan terminal dan bilik air untuk menggalakkan kebersihan diri yang baik di kalangan pengguna lapangan terbang," katanya.

Penumpang dinasihatkan untuk tiba 90 minit sebelum waktu berlepas untuk mengelakkan beratur panjang kerana prosedur perjalanan tambahan tersebut.

Iklan

Penumpang juga digalakkan untuk mendaftar masuk secara dalam talian untuk menjimatkan masa dan memastikan perjalanan yang lancar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Md Derick Basir berkata lapangan terbang itu telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri Johor sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan meningkatkan langkah pencegahan dan kawalan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di lapangan terbang tersebut.

"Selain melakukan kerja-kerja nyahkuman dan pembersihan di kawasan ramai orang, lapangan terbang baru-baru ini telah menjalani latihan pembasmian kuman berskala penuh dengan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor untuk melindungi pengguna lapangan terbang kami," katanya.

Lapangan terbang itu juga telah bekerjasama dengan peruncit dan penyewa untuk memastikan mereka mematuhi panduan prosedur operasi standard yang diperkenalkan oleh kerajaan. - Bernama