Dirgahayu Tan Sri PM!

Iklan
Muhyiddin Yassin. - Foto Reuters

Awang nak ucapkan selamat hari lahir kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sambut hari lahir ke-73 semalam. Awang doakan kesihatan dan kesejahteraan bagi Tan Sri PM kita.

Sebetulnya Awang tak ada nasihat untuk Tan Sri PM. Maklumlah beliau pun dikelilingi oleh banyak penasihat yang bijak pandai belaka. Itulah untungnya jadi orang nombor satu, banyak orang sukarela nak bagi nasihat.

Iklan
Iklan

Awang cuma nak ingatkan TS PM, bukan mudah duduk di tempat tertinggi. Tan Sri PM dah lalui pahit getir berpolitik. Beliau dah berada pada kedudukan nombor dua pada masa Datuk Seri Bossku Najib tapi beliau disingkirkan oleh sebab berani berkata benar pada tahun 2015.

TS PM pun dah pernah kalah dalam pertandingan penting UMNO tahun 1996. Pada tahun 1993, beliau dapat tempat nombor satu dalam pertandingan jawatan Naib Presiden tapi tersungkur tahun 1996.

Iklan

Tan Sri PM patut sangat ambil iktibar dua peristiwa itu. Ingatlah juga siapa kawan sebenar dan siapa kawan gantungan. Kawan gantungan ini muncul apabila kita ada kuasa dan kedudukan. Maka, ramailah orang yang mengaku kawan. Pada masa Tan Sri PM tersingkir pada tahun 1996 dan 2015, kawan pun banyak yang hilang.

Dalam politik tidak ada kawan atau musuh yang kekal. Yang ada orang yang nak cari peluang. Yang ada orang yang sanggup khianat pada kawan. Hukum rimbanya, menikam atau ditikam. Tentulah Tan Sri PM lebih maklum.

Iklan

Biar lambat asal selamat

Awang memang berharap masjid kita dapat dibuka semula kepada orang ramai. Sudah dua bulan masjid kita sepi. Patut sangatlah diimarahkan masjid seperti seharusnya.

Tapi Awang juga nak ingatkan diri kita semua agar berhati-hati. Memanglah langkah membenarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri dialu-alukan. Ada SOP yang ketat dalam soal membabitkan solat berjemaah di masjid.

Memang ada juga yang risau kalau-kalau tindakan itu dibuat terlalu awal. Ada yang berpendapat belum masanya kita ringankan peraturan berhimpun cara itu. Seperti juga kebenaran untuk berziarah pada hari raya yang pertama. Banyak juga pandangan yang mengatakan eloklah difikirkan masak-masak. Biar lambat asal selamat.

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Tan Sri PM, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood beri pandangan sepatutnya PKP kekal pada waktu Aidilfitri. Maklumlah apabila manusia bergerak, kita tak tahu siapa sihat siapa tidak, siapa yang bawa virus itu atau yang tidak.

Tapi maklumlah, soal Aidilfitri ini sesuatu yang jadi budaya penting orang Melayu dan Islam. Jikalau tak dibenarkan langsung berziarah susah juga nanti. Macam kata lagu Melayu lama ‘jadi semua serba salah’.

Mujur juga kita dah putuskan tidak boleh merentas negeri semasa Aidilfitri. Maksudnya tak boleh balik kampung macam selalu. Sama-samalah kita harap SOP berziarah sewaktu Aidilfitri kali ini dipatuhi. Maklumlah dalam kita nak berhimpun sesama keluarga kadang-kadang kita lupakan semua peraturan.