JAKARTA - Seorang pegawai polis di Jakarta disiasat oleh bahagian urusan dalaman polis selepas video beliau menunjukkan senjata api viral di media sosial.
Video berdurasi empat saat itu menunjukkan pegawai itu memakai baju polis sambil membawa senapang.
"Jadi teman lelaki kamu tampan? Kaya? Tapi bolehkah dia melakukan ini?" kata pegawai itu sambil mengacukan pistolnya.
Video tersebut dimuat naik oleh pengguna Twitter @kapansarjana dan menerima 4.8 juta tontonan serta lebih 10,000 perkongsian dalam masa kurang tiga hari.
"Tolong beritahu kadet anda agar tidak sombong di depan orang, anda dan kadet anda dibayar dengan wang cukai rakyat," ciap @kapansarjana sambil menyebut akaun Twitter rasmi Polis Negara, @DivHumas_Polri.
Jurucakap Polis Negara, Ahmad Ramadhan berkata, pegawai itu, yang hanya dikenali sebagai GAP bukan kadet di akademi polis seperti yang didakwa oleh sebuah portal berita tempatan tetapi pegawai di Polis Jakarta.
"Bahagian Urusan Dalaman Polis Jakarta sedang menyiasat video yang tular itu dan siasatan awal menunjukkan bahawa anggota itu membuat video ketika mereka ditugaskan untuk menjaga pengisian wang tunai ATM," katanya.
Difahamkan setelah merakam video tersebut, GAP memuat naik video itu melalui ruangan 'story' di aplikasi WhatsAppnya sahaja, bukan di laman media sosial.
Ahmad menambah, GAP turut melaporkan akaun Twitter @kapansarjana ke pihak polis untuk siasatan jenayah khas. -Agensi