Covid-19: Thailand buka lebih banyak perniagaan

Iklan
Thailand akan melonggarkan sekatan bagi beberapa lagi tempat dan perniagaan termasuk membuka semula pusat membeli-belah serta gedung serbaneka mulai hari Ahad ini berikutan situasi Covid-19 yang bertambah baik di negara ini.

BANGKOK- Thailand akan melonggarkan sekatan bagi beberapa lagi tempat dan perniagaan termasuk membuka semula pusat membeli-belah serta gedung serbaneka mulai hari Ahad ini berikutan situasi Covid-19 yang bertambah baik di negara ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kerajaan juga telah memendekkan tempoh berkurung di seluruh negara selama satu jam iaitu dari 11 malam hingga 4 pagi berbanding 10 malam hingga 4 pagi sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata walaupun lebih banyak pelonggaran sekatan perlu dilakukan untuk ekonomi, kerajaan tetap prihatin terhadap gelombang kedua wabak itu.

"Pelonggaran itu memerlukan kerjasama semua orang. Situasi akan dinilai secara berkala,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat CCSA yang membincangkan pelbagai isu termasuk langkah-langkah dan pelonggaran sekatan fasa kedua.

Mulai Ahad, pusat membeli-belah, gedung serbaneka, pusat komuniti di Thailand akan beroperasi semula antara 10 pagi hingga 8 malam, bagaimanapun perniagaan di premis seperti panggung wayang, pusat boling, taman hiburan, spa dan rumah urut akan ditutup.

Iklan

Di bawah fasa kedua pelonggaran sekatan, restoran dan kafe di bangunan pejabat dan medan selera akan dibenarkan beroperasi semula, bagaimanapun penjualan alkohol dilarang di tempat-tempat tersebut.

Kedai borong dan runcit yang besar, salun kuku, kedai kosmetik dan pakaian, perabot, peralatan elektrik, komputer, buku, peralatan sukan, dan kedai peralatan pejabat juga dibenarkan dibuka semula.

Beberapa tempat yang akan dibuka semula merangkumi pusat sukan dalam bangunan dengan maksimum tiga pemain seperti badminton, pingpong, daki tembok, gimnasium, pusat kecergasan, hanya di ‘free-weight zone’ dan latihan berkumpulan termasuk ‘cycling machine’ dan treadmill dilarang. Kolam renang akan dibuka semula mulai hari Ahad namun pengendali mesti mengehadkan masa dan jumlah pengguna.

Spa, rumah urut, stadium tinju, sekolah seni mempertahankan diri, taman air dan sukan air masih ditutup.

Sementara itu, larangan masuk penerbangan penumpang antarabangsa masih kekal.

Pada 3 Mei, enam jenis perniagaan dan beberapa tempat dibuka semula termasuk pasar luar, taman dan kemudahan sukan luar, kedai gunting rambut dan salun rambut (hanya terhad untuk gunting, syampu dan mengering rambut), dan kedai dandanan dan hotel haiwan peliharaan.

Sejak fasa pertama kelonggaran sekatan, Thailand telah mencatat satu digit kes baru Covid-19 kecuali pada 4 Mei apabila 18 kes baharu dilaporkan yang kesemuanya melibatkan pendatang di pusat tahanan imigresen di selatan wilayah Songkhla.

Pada Rabu, tiada kes harian baharu dilaporkan untuk pertama kali dalam tempoh dua bulan.

Hari ini, Thailand melaporkan tujuh kes baharu Covid-19 melibatkan enam lelaki dan seorang wanita yang dikesan di fasiliti kuarantin, yang kembali dari Pakistan pada 7 Mei, dengan kematian sifar, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 3,025 dan 56 kematian.

Thailand telah melanjutkan detri darurat hingga akhir Mei untuk mengekang wabak Covid-19. - BERNAMA