SELAYANG - Dua objek menyerupai bom mortar ditemukan di sebuah rumah di Taman Selayang Jaya oleh sepasang suami isteri, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pasangan berusia 36 tahun dan 32 tahun itu menemui objek tersebut ketika membersihkan rumah yang baru disewa dua hari lalu sebelum menghubungi polis.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Unit Pemusnah Bom PDRM (UPB) telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mendapati bom tersebut tidak aktif.
"Objek itu adalah jenis mortar yang digunakan untuk latihan. Pihak UPB mengesahkan kawasan tersebut selamat," katanya.
Menurut beliau, pihak polis telah mengambil keterangan pemilik rumah tersebut bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati pemilik sekarang telah membeli rumah tersebut tiga tahun lalu. Susulan itu, polis turut mengambil keterangan pemilik asal rumah itu.
"Didapati, bom tersebut milik pemilik asal rumah tersebut yang gemar menyimpan barang antik," katanya.