PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau berasa sangat meluat dengan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Israel yang menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat Olimpik dan melabel Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai anti-Yahudi.
Saifuddin berkata, selama lebih separuh abad, Israel tidak pernah mengendahkan hak tidak terpisah rakyat Palestin sambil melaksanakan dasar dan amalan tidak berperikemanusiaan yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa.
Iklan
Iklan
"Israel tiada hak untuk bercakap tentang nilai moral apabila mereka sendiri adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tetap pendirian tak benar atlet Israel masuk Malaysia]
Semalam, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan penyertaan atlet Israel dalam acara sukan antarabangsa yang dianjurkan Malaysia dan berkata keputusan itu diinspirasikan oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr Mahathir.
Pada 10 Januari lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Saifuddin juga mengulangi Malaysia sentiasa dan akan terus menjadi penyokong tegar perjuangan rakyat Palestin yang disokong oleh komitmen jangka panjangnya ke arah mengembalikan hak dan kebebasan rakyat Palestin. - Bernama