Azam tamatkan hafazan al-Quran sebelum Ramadan

Iklan
Muhammad Muqri

BALING - Pelajar sebuah pondok tahfiz dari Parit Panjang yang hilang sejak 12 Januari lalu berazam untuk menamatkan hafazan al-Quran sebelum Ramadan tahun ini.

Ibunya, Fadzilah Kassim, 48, dari Selama Perak berkata, anak sulungnya, Muhammad Muqri Qayyum Zulkifli, 15, pernah memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Dia kata, abang jika boleh nak tamatkan hafazan Ramadan tahun ini, tapi ustaz sasarkan tahun depan. Mungkin dia rasa kecewa, tambahan pula dia masih remaja, masih mencari identiti diri.

"Tak sangka dia buat tindakan drastik macam ini, sebab dia anak yang baik. Dia mula belajar di pondok Januari tahun lepas dan tak tunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Menurutnya, kelibat anaknya ada dilihat tukang kebun masjid di Sungai Petani beberapa hari lalu.

"Orang nampak dia pertama di Masjid Al Rahman, kedua Masjid Abu Bakar As Siddiq di Bakar Arang dan ketiga di Masjid Penghulu Him sedang solat Zohor dan Asar.

Iklan

"Dia juga dilihat peniaga kedai makan membawa satu beg biru dan satu lagi beg hitam serta sandang kain isya berwarna kelabu campur hitam di bahu,” katanya.

Fadzilah berkata, kali terakhir anaknya dilihat memakai kemeja-t di Masjid Penghulu Him selain memakai kopiah dan berjubah putih.

"Saya saya juga di Kompleks Dakwah Darul Murtadha dan Maahad Tahfiz Al Amin di Sungai Petani, tetapi dia tiada.

"Sebagai ibu, saya amat bimbang keselamatan dia apatah lagi dia hanya ada RM50 yang saya beri sebagai wang saku selama sebulan masa jumpa dengannya pada 5 Januari. Rasanya duit itu dah habis.

"Tak tahu lah dia makan apa sekarang ini, hanya ALLAH yang tahu. Saya harap semoga ayat-ayat al-Quran yang dia hafal di dada menjadi pendindingnya daripada perkara tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, tenaga pengajar pondok tahfiz terbabit membuat laporan polis pada 13 Januari selepas menyedari kehilangan pelajar terbabit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tahfiz hilang]

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak berkuasa atau talian 019-4795436.