14 dicekup leka berhibur di 'pejabat'

Iklan
14 individu ditahan dalam sebuah premis pejabat yang dijadikan pusat hiburan di Taman Industri Sungai Lokan tengah malam tadi.

BUTTERWORTH - 14 individu termasuk empat wanita Vietnam ditahan selepas didapati sedang berhibur di sebuah pejabat yang dijadikan pusat hiburan di Taman Industri Sungai Lokan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain warga asing itu, sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan turut ditahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada jam 12.30 tengah malam tadi.

"Ketika polis menjalankan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terhadap premis yang tidak dibenarkan beroperasi, kita mendapati ada sebuah pejabat di Taman Industri Sungai Lokan di sini sedang beroperasi.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, terdapat 14 individu iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan selain empat wanita Vietnam sedang leka berhibur dengan meminum arak. Premis itu merupakan sebuah pejabat dan dimainkan muzik untuk dijadikan pusat hiburan," katanya ketika dihubungi tadi.

Kesemua yang ditahan dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman pagi ini.

Menurutnya, premis tersebut juga didapati beroperasi tanpa permit perniagaan yang sah.

Iklan

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 40 hingga 67 tahun itu tiada rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, empat wanita Vietnam berusia lingkungan 25 hingga 28 tahun tersebut gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Mereka dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan 1998 dan 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63. Selain itu, memandangkan kesemua mereka didapati ingkar PKPB, maka mereka turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 15 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020," katanya.