IPOH - Seorang usahawan apam balik memberikan kuih itu secara percuma kepada pelanggannya hari ini sebagai meraikan sambutan Hari Guru dan sebagai penghargaan kepada semua pendidik.
Pengasas Apam Balik Kuhot, Mohamad Azmi Ahmad bagaimanapun menganggap pemberian itu kecil berbanding sumbangan seorang guru yang mencurahkan ilmu kepada pelajarnya.
Menurutnya, ia bukan pertama kali dilakukan malah setiap kali sambutan tertentu termasuk 1 Ramadan.
"Istimewanya hari ini, kita mahu menghargai jasa dan sumbangan guru terhadap pembangunan insan sehingga mereka berjaya dan berbakti untuk negara," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, perniagaannya yang beroperasi di Taman Klebang Restu mula mengagihkan apam balik percuma pada jam 4 petang.
Mohamad Azmi berkata, dia tidak pernah memikirkan kerugian dengan pemberian percuma tersebut sebaliknya menganggap sebagai sumbangan kepada masyarakat.
Jelasnya, jika diizinkan pemberian percuma itu akan diteruskan dari masa ke masa bukan sahaja Hari Guru tetapi sambutan lain sebagai menghargai pelanggan.