Israel adalah hipokrit terbesar: Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

MUAR - Cubaan Israel untuk menggambarkan seolah-olah dirinya menjadi ‘mangsa’ dengan mengecam keputusan Malaysia menghalang atlet negara itu mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Dunia Para di Kuching bulan Julai ini amat keji dan hina, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, dengan kecaman itu Israel sememangnya tidak dapat dinafikan adalah hipokrit terbesar.

Iklan
Iklan

Katanya, negara itu mengecam Malaysia dengan dakwaan kononnya mempolitikkan sukan, namun ia lupa bagaimana negara itu melantik diri sendiri sebagai"penjaga” Palestin dengan memutuskan siapa yang boleh dan siapa yang tidak boleh bertanding dengan atlet Palestin di tanah airnya sendiri.

"Sudahkan Israel lupa bagaimana mereka secara haram mengawal dan menentukan siapa atlet Palestin yang boleh meninggalkan negara itu untuk menjalani latihan atau menyertai apa-apa pertandingan.

Iklan

"Bukankah itu mempolitikkan sukan? Sebagai Menteri Belia dan Sukan saya berpegang teguh dengan keputusan Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Isnin lepas Syed Saddiq dilaporkan berkata Malaysia tidak akan membenarkan perenang paralimpik Israel untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching dari 29 Julai sehingga 4 Ogos ini, dan menurutnya perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet lepas, di mana semua yang menghadirinya cukup jelas dengan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan

Media hari ini melaporkan Israel mengecam keputusan Malaysia itu dan mendakwa ia di dorong oleh sikap anti-semitisme Dr Mahathir yang tebal.

Syed Saddiq berkata, semasa Amnesty International dan Human Rights Watch mengutuk keganasan dan jenayah perang Israel, negara itu tetap cuba memainkan peranan seolah-olah menjadi ‘mangsa’ komuniti antarabangsa.

"Malaysia tidak sepatutnya terlibat dengan rejim yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saudara-saudara kita di Palestin dibunuh dengan kejam dan mereka yang hidup dipenjarakan seumur hidup di penjara terbuka, dikawal ketat oleh rejim Israel," katanya.

Syed Saddiq berkata, sekiranya Afrika Selatan boleh diharamkan daripada Sukan Olimpik kerana rejim apartheid, Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai hak untuk mengharamkan rejim pembunuh tajaan negara, penjenayah perang, dan apartheid Israel itu daripada datang ke Malaysia, negara yang cintakan keamanan.

"Saya berdiri teguh dengan saudara-saudara saya dari dari Palestin, dan bukannya dengan Israel yang hipokrit,” katanya.- Bernama