IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang bayi perempuan antara 14 mangsa banjir yang dipindahkan berikutan banjir kilat yang melanda Kampung Sungai Rokam di sini hari ini.
Operasi memindahkan mangsa banjir daripada tiga keluarga itu dibuat berikutan limpahan air dari Sungai Rokam akibat hujan lebat berterusan selama dua jam sejak 6 petang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kinta dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita, seorang kanak-kanak dan bayi perempuan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Dato' Ahmad Said.
"Pusat pemindahan dibuka pada jam 8.30 malam tadi. Proses pemindahan dibantu lapan jabatan dan agensi terlibat antaranya bomba, polis, Angkatan Pertahana Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Kenyataan sama memaklumkan, keadaan di lokasi kini masih hujan renyai.
"Tinjauan di sekitar kawasan terjejas dilakukan bagi memastikan keadaan selamat," katanya.
Sementara itu, Exco Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pemantauan dibuat mendapati, hujan lebat telah mengakibatkan air Sungai Rokam tidak dapat mengalir lancar ke Sungai Pinji disebabkan masalah pembetung yang kecil.
Katanya, untuk penyelesaian jangka pendek, jabatan terlibat akan menjalankan kerja pembersihan sungai dalam kadar segera selain memastikan rumah pam beroperasi dengan baik.
"Untuk memastikan kejadian sama tidak berulang, culvert (pembetung) di Jalan Raja Dr Nazrin Shah (medan Gopeng) akan diperbesarkan bagi memastikan kelancaran aliran terutama pada musim hujan lebat," katanya.