Wajib utamakan keselamatan pelajar

Iklan
Gambar hiasan. - Foto Bernama

LEBIH lima juta pelajar di Malaysia kini sabar menanti tarikh rasmi pembukaan sesi persekolahan yang masih tutup susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas berikutan Covid-19.

Kementerian Pendidikan (KPM) yang memandang serius krisis pandemik itu mengambil pendirian untuk ‘tunggu dan lihat’ sebelum memutuskan sebarang kenyataan rasmi.

Iklan
Iklan

KPM berpendirian sedemikian setelah menyedari musibah yang bakal menimpa kepada pelajar sekolah dan mengundang ancaman terhadap nyawa mereka.

Kebimbangan sama turut dizahirkan lidah pengarang akhbar harian Malaysia Nanban bahawa pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan KPM wajib mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan pelajar berbanding mempercepatkan pembukaan semula sekolah.

Iklan

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin menyatakan kementerian beliau akan membuat keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan apabila Malaysia benar-benar pulih daripada wabak Covid-19.

Mohd Radzi juga memberi jaminan apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuk amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.

Iklan

Bukan itu sahaja, di sekolah pula jumlah pelajar di dalam sesebuah kelas akan dihadkan apabila bilangan pelajar dalam kelas sebelum ini akan dipecah dua dan satu kelas hanya akan menempatkan maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa.

Jelas Mohd Radzi, pembukaan semula sesi persekolahan tidak akan dibuat secara tiba-tiba sebaliknya pengumuman tarikh dilaksanakan selewat-lewatnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

Malaysia Nanban mengatakan kesemua pelan persiapan dirangka KKM itu memaparkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pelajar.

Malaysia Nanban juga memuji kecekapan pihak kerajaan dan KKM mengorak langkah bijak dengan mendahulukan kemasukan pelajar lebih dewasa berbanding di bawah lingkungan umur kanak-kanak.

Dengan itu, pihak kementerian bercadang membenarkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 atas dahulu untuk memulakan sesi pembelajaran di kelas sebaik sekolah dibuka nanti.

Bagaimanapun, Malaysia Nanban meminta pihak sekolah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar dengan memastikan suhu badan mereka diperiksa sebelum memasuki kelas masing-masing. Apa yang lebih penting, pelajar juga harus diwajibkan memakai topeng muka.

Pihak sekolah turut perlu menyediakan sabun dan cecair pembasmi kuman di kawasan utama di bangunan sekolah serta menggalakkan setiap pelajar untuk kerap mencuci tangan.

Trend pergaulan antara pelajar dan pengurusan tempat berkumpul di kawasan sekolah khususnya pada waktu rehat di lokasi kantin harus dipantau dengan baik oleh pihak sekolah.

Bak kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, amalan penjarakan sosial yang selamat dan menjaga tahap kebersihan diri adalah ‘vaksin’ sementara yang dapat mengekang serta memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Justeru, pihak sekolah memikul tanggungjawab besar dalam usaha mendidik pelajar patuh kepada amalan penjarakan sosial ketika berada di sekolah.

Malaysia Nanban mengesyorkan pihak sekolah menggubal peraturan baharu yang lebih ketat untuk mendisiplinkan pelajar agar tidak mengingkari perintah dilaksanakan pihak sekolah.

Pelajar Tingkatan 5 dan 6 atas merupakan kategori pelajar remaja yang memiliki tahap kematangan tinggi dan mereka juga sudah pasti menyedari bahaya jangkitan Covid-19.

Jadi para pelajar yang hampir dewasa itu dipercayai akan lebih berwaspada dan mampu untuk meringankan beban para pendidik dengan memudahkan pengurusan pihak sekolah pada musim pandemik ini.

Akhir kata, pihak pengurusan atasan sekolah, pendidik dan ibu bapa harus berganding bahu dalam memastikan operasi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan selamat.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor