PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak akan ‘lepas tangan’ mengenai tunggakan gaji pemain tempatan sebagaimana dituntut bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi.
Setiausaha KAFA, Hussin Deraman berkata, pihaknya akan tetap menyelesaikan ‘hutang’ terhadap mana-mana pemain terlibat biarpun badan induk bola sepak Kelantan itu kini dibelenggu masalah kewangan.
"Kami ingin beritahu semula, sebenaPesarnya kami tak lupa dan kami sudah senaraikan pemain yang masih mempunyai tunggakan gaji. Cuma kebetulannya, tunggakan gaji pemain bekas pemain import kita (Cassio Francisco De Jesus) melibatkan jumlah yang cukup besar.
ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan KAFA mohon derma dipersoal
Rakyat Kelantan ‘talian hayat’ TRW
"Apa pun dalam perancangan kami, memang kami akan selesaikan semua. Macam kes Piya, kalau kami tak selesaikan tunggakan gajinya, kami tak akan dapat lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan."Bagi musim ini pun kami dapat lesen setelah pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima penjadualan pembayaran tunggakan gaji yang kami buat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Mohd Badhri atau lebih terkenal dengan panggilan Piya meminta KAFA bersikap lebih adil dalam melunaskan tunggakan gaji termasuk pemain tempatan.
Menurut Piya, KAFA juga seharusnya menyelesaikan tunggakan gajinya yang berjumlah lebih RM300,000 biarpun sedar bekas majikannya itu sedang bertungkus-lumus mencari dana untuk membayar ‘hutang’ Cassio.
Terdahulu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan KAFA untuk melunaskan tunggakan gaji Cassio berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh sebulan bermula 23 April lalu jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan tegas.
Dalam pada itu, Hussin berkata, pihaknya tidak dapat memberikan perkembangan terkini berhubung jumlah kutipan derma ‘Selamatkan Bola Sepak Kelantan’ berikutan cuti umum di Kelantan pada Jumaat dan Sabtu.
"Buat masa ini, saya tak dapat berikan update jumlah wang derma yang telah kita kumpul disebabkan bank tutup pada hari ini. Insyaa-ALLAH kami dapat berikan perkembangan itu Ahad nanti (esok),” jelasnya.