PENYANYI Baby Shima kesal dan sedih apabila namanya tidak semena-mena tersenarai dalam skandal pelacuran dalam talian membabitkan selebriti di Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan oleh pengurusannya yang gambarnya tersebar dalam peniagaan seks dalam talian malah dikeluarkan dalam satu rancangan televisyen di negara republik itu.
Menerusi Instagram peribadinya, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berasa terkejut setelah mendapati namanya turut terpalit dalam perniagaan seks dalam talian itu.
Tidak mudah melatah, Baby Shima berharap peminat dan penyokong yang mengenali dirinya supaya tidak salah faham dan berharap namanya dibersihkan.
"Harap pihak berkenaan dapat membersihkan nama Shima kembali, terima kasih," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN:45 artis dikenal pasti terlibat pelacuran online]
Memetik laporan Astro Awani, Baby Shima kini berada di Jakarta, Indonesia untuk bertemu media di sana bagi menjernihkan kembali nama baiknya.
Sememangnya kini media Indonesia menjadikan berita penangkapan selebriti negara itu sebagai berita utama susulan penangkapan artis Vanessa Angel di bilik hotel awal Januari.
Siasatan polis hasil daripada tangkapan itu mengesan kegiatan pelacuran dalam talian melibatkan hampir 50 artis lain dan 100 model.