Manfaat teknologi maklumat teruskan perjuangan bebas Palestin

Iklan
Abdul Hadi

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh dunia perlu memanfaatkan teknologi maklumat hari ini sebagai platform bagi meneruskan perjuangan terhadap pembebasan Palestin yang dizalimi Israel, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu berkata, teknologi maklumat merupakan platform bagi masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat, berkongsi idea dan memberi kesedaran serta menyebarkan perkara berkaitan kezaliman Zionis terhadap Palestin kepada seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"Umat Islam perlu memberi perhatian kepada isu melibatkan umat Islam sendiri... Walaupun teknologi maklumat ini diciptakan oleh orang bukan Islam, tetapi kita boleh mengambil manfaat melaluinya dengan sebar dan kongsi fakta sebenar berkenaan isu Palestin.

"Pada masa sama, kita juga perlu menyedarkan semua kaum dan agama supaya menunaikan tanggungjawab kemanusiaan, biar Israel terkepung, bahkan ada negara di sebelah Amerika Latin yang turut tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara atas dasar kemanusiaan,” katanya dalam rancangan Assalamualaikum: Pasca 72 Tahun Derita Nakbah Palestin yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV Alhijrah di sini hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyeru pemimpin negara Islam di seluruh dunia untuk tidak tunduk dengan negara yang terpengaruh dengan Zionis.

"Pemimpin perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat di negara mereka dengan adil dan saksama, sebagai contoh, pilihan raya di negara barat banyak dipengaruhi Zionis melalui penguasaan media dan ekonomi sehingga banyak calon presiden takut dan mendukung Israel kerana ingin memenangi pilihan raya itu, ia sesuatu yang salah,” katanya.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai komitmennya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, beliau berkata, hubungan dengan organisasi dan tokoh Islam antarabangsa akan diperkukuh dan dimanfaatkan terutama dalam isu melibatkan konflik Palestin-Israel dan kekejaman terhadap umat Islam.

Peristiwa Nakbah Palestin merupakan peristiwa hitam yang menimpa penduduk negara itu lebih tujuh dekad yang lepas ekoran penubuhan Israel pada 14 Mei 1948.

Kini, genap 72 tahun tragedi berkenaan berlaku bagaimanapun ia masih lagi menjadi ingatan seluruh umat Islam kerana lebih daripada 10,000 penduduk Palestin terbunuh manakala sebahagian yang lainnya kehilangan harta dan tempat tinggal susulan penaklukan Israel itu. - Bernama