Tiada maaf bagimu!

Iklan
Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta merta pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir reda dengan apa yang menimpa dirinya sehingga hilang jawatan Menteri Besar dan tekad menjadi pembangkang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan selewat-lewatnya Mei 2023.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan menerima kembali mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah mengkhianati kepercayaan rakyat Kedah sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Iklan
Iklan

"Kekallah di sana bersama rakan subahat mereka, tiada maaf bagimu!” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mukhriz lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta-merta

Iklan
ADUN Jeneri, Menteri Besar Kedah baharu ganti Mukhriz
Laporan Sinar Harian berkaitan dua ADUN yang mengumumkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Awal minggu lalu, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional Kedah adalah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadian Saad; ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad serta ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Sebelum itu, dua ADUN dari PKR mengumumkan keluar parti iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee

Iklan

Menurut Mukhriz, kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih pentadbiran negeri Kedah adalah ‘kerajaan pintu belakang’ atau tebuk atap.

Mukhriz turut kesal apabila kes pengubahan wang haram melibatkan Riza Shahriz Abdul Aziz dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah.

"Mungkin pelepasan itu merupakan petanda kepada kes-kes jenayah Najib dan kroninya. Kita tunggu dan lihat. Malaysia kembali terkenal seantero dunia, angkara pihak yang PH tumbangkan pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14). Kini mereka kembali berkuasa apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin buka pintu seluas-luasnya kerana mempertahankan jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Mukhriz berkata, sepanjang berkhidmat, tidak ada kepentingan peribadi yang diberikan pertimbangan mengatasi rakyat.

"Sejujurnya saya dan kerajaan PH melaksanakan tugas dan tanggungjawab semata-mata untuk negeri dan rakyat yang kami sayangi. Terima kasih kepada seluruh rakyat Kedah yang beri kepercayaan kepada kami membentuk kerajaan pada 2018 termasuk pegawai dan kaki tangan kerajaan negeri dan Persekutuan yang memberikan kerjasama baik,” katanya.

Mukhriz mengaminkan doa sebelum memulakan sidang media di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz turut mendoakan agar ALLAH SWT terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan negeri dan rakyat Kedah dengan penuh keberkatan.

"Saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya sepanjang berkhidmat, kita bertuah berada bawah naungan Tuanku yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang keadaan rakyat,” katanya.

Mukhriz turut mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkuat kuasa serta-merta.

Ini kali kedua beliau meletakkan jawatan Menteri Besar selepas kali pertama pada Februari 2016.