DUNGUN - Seorang wanita berdepan detik menakutkan apabila diserang lelaki yang pernah menetak tangannya dengan sebilah parang, dalam kejadian di Kampung Alur Tembesu, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 39 tahun sedang berehat di hadapan rumahnya ketika lelaki yang amat dikenalinya itu datang dengan membawa parang.
Menurut Baharudin, mangsa sangat takut kerana suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an memegang parang itu sambil mengacukan senjata berkenaan ke arahnya, apatah lagi mangsa masih trauma dengan kejadian tangan kanannya ditetak oleh suspek dengan senjata sama.
"Mangsa bergegas masuk ke dalam rumahnya lalu mengunci pintu rumah disebabkan terlalu takut dengan kehadiran suspek selain bimbang peristiwa tangannya ditetak berulang semula.
"Suspek yang tidak berpuas hati kerana tindakan mangsa yang melarikan diri dengan mengunci pintu rumah terus mengamuk lalu bertindak menetak pintu rumah beberapa kali dengan parang berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Baharudin berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati kerana mangsa enggan membuka pintu bertindak mengugut akan datang semula pada malam itu, sebelum meninggalkan rumah wanita terbabit.
"Mangsa tidak membuat laporan polis selepas kejadian pertama kerana tidak mahu diketahui masyarakat setempat, tetapi akhirnya mengambil keputusan ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut kerana bimbang keselamatan dirinya pada masa akan datang.
"Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.