Kelantan tunggu kebenaran Maik, perkenan Sultan jumlah jemaah solat

Iklan
Ahmad Yakob

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedang menunggu keputusan rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk membenarkan lebih 40 orang mengadakan solat berjemaah di masjid ketika solat Jumaat dan Aidilfitri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, jawatankuasa khas Maik telah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kaedah solat berjemaah di masjid untuk negeri itu kepada kerajaan negeri dan ia telah dipersetujui untuk diangkat kelulusannya.

Iklan
Iklan

"Perkara solat ini di bawah (kuasa) majlis agama (Maik) dan kita telah mempunyai SOP lengkap mengenai solat berjemaah ini yang dibentangkan oleh jawatankuasa khas ini dan tunggulah insya-ALLAH mengenai keputusan oleh Maik dengan mendapat perkenan Sultan Kelantan.

"Selepas itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) (minggu ini) bagi sebarang pengumuman mengenainya nanti," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Iklan

Kelantan sebelum ini membenarkan solat Jumaat hanya dilakukan oleh empat pegawai masjid terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal dan siak tanpa kehadiran orang awam, sementara jumlah yang dicadangkan untuk diluluskan adalah tidak melebihi 45 orang, katanya.

Sementara itu Ahmad meminta rakyat Kelantan agar mematuhi semua SOP mengenai sambutan Aidilfitri seperti yang diputuskan kerajaan sebelum ini.

Iklan

"Patuhi jumlah berziarah termasuk jarak sosial. Kita mahu semua orang berasa selamat untuk berhari raya," katanya. - Bernama