Polis pantau lokasi tumpuan termasuk kedai pajak gadai

Iklan

KUANTAN- Polis Kuantan mula melaksanakan rondaan dan pemantauan di kawasan tumpuan ramai termasuk premis bank, kedai emas dan kedai pajak gadai dalam usaha mencegah jenayah sempena Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengusaha dan pemilik premis mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya dalam usaha melindungi premis dan pelanggan mereka daripada sebarang perlakuan jenayah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini pihak polis mengadakan pertemuan dengan wakil institusi bank, pengusaha dan pemilik premis berhubung perkara itu namun kali ini ia tidak dapat diadakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

"Bagaimanapun kita sudah pun mengedar risalah pencegahan jenayah ke premis-premis terlibat supaya semua pihak peka dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan premis masing-masing,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Iklan

Mohamad Noor berkata, penjenayah sentiasa mencari ruang untuk melakukan jenayah, justeru sebagai langkah keselamatan, pihaknya mula melakukan rondaan di kawasan itu setiap masa sebagai langkah pencegahan.

"Melalui rondaan pemantauan yang dijalankan dan kerjasama semua pihak, ia diharap dapat menutup peluang kepada penjenayah untuk bertindak.

Iklan

"Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah,”katanya.