SUNGAI BESAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan simulasi di beberapa sekolah terpilih bagi memastikan pentadbir dan guru mengikut garis panduan sekiranya sesi persekolahan dibuka semula.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya berkata, simulasi itu dilakukan bagi memberi gambaran yang lebih jelas kepada pentadbir sekolah supaya bersedia dam mematuhi garis panduan baharu ditetapkan.
"Beberapa garis panduan perlu dipatuhi berhubung jumlah kelas, keperluan guru dan bagaimana pelajar bersedia menghadapi kebiasaan baharu ini.
"Pelajar mungkin terikat dengan jadual waktu anjal iaitu jika kebiasaannya mereka memulakan sesi pembelajaran pada jam 7.30 dilewatkan sehingga jam 8 pagi," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu Muslimin hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Daerah Sabak Bernam di Dewan Asrama Anak Yatim Parit 1 di sini hari ini.
Muslimin berkata, perlaksanaan itu memerlukan komitmen pelajar agar mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan sebelum masuk ke dalam kelas.
"Pelajar dibenarkan berada di dalam kelas setelah mengikut garis panduan seperti menjalani pemeriksaan kesihatan melalui pengimbas suhu dan beberapa ketetapan lain," katanya.
Muslimin berkata, hasil pemerhatian simulasi yang dihadiri beliau di dua buah sekolah menengah di Selangor pada 8 Mei lalu berpuas hati dengan perlaksanaan simulasi terbabit.
"Garis panduan ini mengikut apa yang dikehendaki apatah lagi ia merupakan norma baharu yang tidak pernah berlaku dan difikirkan sebelum ini," katanya.
Justeru, katanya, kementeriannya berharap setiap sekolah menjalani simulasi membabitkan semua guru terlebih dahulu berpandukan garis panduan sedia ada sebelum sesi persekolahan dibuka.
"Sekiranya terdapat kekurangan kita tambah garis panduan yang mungkin berubah bergantung kepada keperluan dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.