KUALA LUMPUR - Meskipun kanak-kanak berisiko tinggi dijangkiti koronavirus (Covid-19), namun masih terdapat segelintir ibu bapa yang membawa anak berusia bawah 12 tahun ke pusat membeli-belah.
Tinjauan Sinar Harian di pusat membeli-belah terkenal di ibu negara di sini hari ini mendapati ibu bapa berbuat demikian bagi tujuan membeli pakaian dan keperluan menyambut Aidilfitri minggu depan.
Bagaimana pun, jumlah kanak-kanak terbabit jauh lebih rendah berbanding pengunjung lain yang majoritinya golongan dewasa walaupun ketika bersesak di ruang jualan pakaian kanak-kanak.
Dalam pada itu di pintu masuk pusat membeli-belah tersebut, hanya satu pintu dibuka dan dikawal anggota polis bantuan bagi memastikan pengunjung mematuhi penjarakan sosial.
Setiap pelanggan dikehendaki mensanitasi tangan masing-masing menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan dan disaring suhu badan.
Tiada larangan atau halangan kepada ibu bapa yang membawa anak berusia bawah 12 tahun memasuki premis berkenaan kerana arahan terbabit belum dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Namun demikian, anggota polis bantuan yang bertugas mengambil inisiatif menasihati ibu bapa agar mengutamakan aspek keselamatan dengan mengamalkan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 sepanjang berada di dalam premis berkenaan.
Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Mazlan berkata, beliau dan isteri terpaksa membawa bersama seorang anak mereka berusia 10 tahun untuk membeli baju raya.
"Tidak boleh tinggalkan anak seorang diri di rumah kerana tiada siapa nak jaga. Walaupun raya tahun ini tidak akan ke mana-mana, tetapi budak-budak tetap nak pakai baju raya baharu.
"Saya pula tidak berapa pandai nak pilih baju raya untuk anak, jadi kena bawa isteri dan anak terpaksa ikut sekali.
"Lagi pun kami semua pakai pelitup muka dan hanya datang beli baju raya sahaja, sudah beli terus balik rumah,” katanya.