PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia yang memiliki status Pemastautin Tetap (PR) di luar negara hanya dibenarkan untuk membuat perjalanan sehala sahaja sama ada kekal berada di Malaysia ataupun pulang ke negara yang memberikan status PR mereka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pintu negara di tutup kepada rakyat asing untuk datang ke Malaysia, namun rakyat Malaysia yang berada di luar negara dibenarkan pulang ke tanah air.
"Walau bagaimanapun sebaik tiba di Malaysia, mereka perlu dikuarantinkan selama 14 hari dan ia adalah wajib.
"Bagi rakyat kita yang memiliki PR di luar negara dan mahu pulang ke negara yang memberikan PR kepada mereka pula kita benarkan, namun mereka tidak boleh balik semula ke negara kita sehinggalah tamat PKPB,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan ke atas 1,408 pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan semalam sama ada mereka dihantar pulang dalam tempoh PKPB ini atau ditahan di depot Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), katanya, perkara itu bergantung kepada dua prosedur yang diguna pakai Imigresen iaitu sama ada PATI itu berjaya memasuki sempadan atau sebaliknya.
Katanya, sekiranya PATI itu belum memasuki sempadan negara, maka kita perlu usir mereka sebagaimana yang berlaku terhadap pelarian Rohingya sebelum ini.
"Bagaimanapun, mereka yang berjaya memasuki sempadan negara kita tidak boleh usir mereka kerana ia sudah termaktub dalam undang-undang antarabangsa, namun mereka akan ditahan di di depot dan dibicarakan di mahkamah.
"Sekiranya bersalah mereka akan dipenjarakan dulu di negara kita dan selepas tamat perintah hukuman mahkamah, maka kita akan hantar mereka balik, pada masa sama kita akan berbincang dengan kedutaan mereka supaya menghantar mereka ini dengan ditanggung oleh ahli keluarga ataupun kerajaan mereka,” katanya.
Sementara itu menjawab pertanyaan berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh penganjur yang memerlukan liputan daripada pihak media, Ismail Sabri berkata, perkara itu sedang diperhalusi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).