BATU KAWAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung pasar raya dan pusat membeli-belah di seluruh negara ketika ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan yang dilakukan pihaknya sejak 13 Mei lalu mendapati kebanyakan pengunjung yang keluar ke pasar raya dan pusat membeli belah mengamalkan penjarakan sosial dengan baik selain menggunakan penutup muka ketika berada di tempat awam.
Menurutnya, dalam tempoh itu sebanyak 5,469 premis telah diperiksa dan pihaknya hanya mengeluarkan sembilan amaran dan 241 nasihat kepada orang awam serta pengusaha premis supaya mematuhi SOP yang disarankan kerajaan.
"Pemantauan yang dilakukan mendapati pengurusan pasar raya dan pusat membeli-belah juga memainkan peranan mereka dengan selalu membuat hebahan dan pengumuman agar orang ramai patuh semua SOP.
"Pematuhan ini penting kerana menjadi tanggungjawab kita semua untuk memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) ini dan sekiranya tidak berlaku peningkatan kes baharu sehingga esok 18 Mei seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mungkin tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dipendekkan," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Terdahulu, Rosol membuat lawatan ke kilang Easy Pack Machinery di Penang Science Park di sini bagi melihat pembuatan mesin pembungkusan yang sesuai digunakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peranan anggota penguat kuasa KPDNHEP dalam menguatkuasakan tugas mengikut Akta Pengawalan Penyakit (Akta 342) Berjangkit, Rosol berkata, pihaknya memfokuskan beberapa skop pematuhan SOP terutamanya memantau sebarang aktiviti yang dilarang dilakukan di semua premis perniagaan di negara ini.
Selain itu, anggotanya juga memfokuskan SOP sektor makanan, peruncitan dan komunikasi termasuk e-dagang.
Dalam menguatkuasakan akta berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.