ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 mewakili kerajaan Perikatan Nasional.
Ketuanya, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, Pemuda UMNO Kedah menyokong penuh pelantikan itu demi rakyat dan negeri serta berharap kepimpinan Mohammad Sanusi menerajui Kedah, membolehkan negeri tersebut terus makmur termasuk bagi mendepani cabaran wabak Covid-19 serta keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Iklan
Iklan
"Kita juga melahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT atas berakhirnya kemelut kepimpinan politik negeri Kedah yang menyaksikan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akibat pergolakan dalaman blok Pakatan Harapan (PH).
"Ini adalah rentetan dan kesan kemelut kerajaan Persekutuan sejak Februari lalu yang memperlihatkan efek ‘domino’ kepada negeri-negeri yang ditadbir PH bermula di Johor, Melaka, Perak dan kini Kedah," katanya.
Menurutnya, memikirkan kepentingan rakyat negeri Kedah, Muafakat Nasional iaitu UMNO dan Pas akhirnya mengambil sikap berjiwa besar menerima ADUN-ADUN PH yang beralih arah agar pentadbiran negeri dan rakyat dapat diselamatkan.