Kelamai juadah tradisi Aidilfitri masyarakat Rawa di Gopeng

Iklan
GOPENG, 17 Mei -- Pembuat kelamai, Haris Fadilah Shaharudin, 50,(tiga,kiri) bersama keluarganya membakar Kelamai di rumahnya di Kampung Gunung Mesah Hilir. -Foto Bernama

GOPENG - Sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat Rawa di Gopeng di sini, menjadikan juadah tradisi yang terkenal sejak zaman berzaman iaitu kelamai, sebagai hidangan yang perlu ada setiap kali menjelang Aidilfitri.

Cara memasak kelamai sama seperti lemang, yang perlu dibakar di atas bara api kira-kira lima jam, namun rupanya seakan-akan dodol daripada segi warnanya yang kehitaman, dengan tekstur kenyal dan lembut, selain tahan lama bagi tempoh sehingga lebih sebulan, jika betul cara penyimpanannya.

Iklan
Iklan

Seorang pembuat kelamai Haris Fadilah Shaharudin, 50, dari Kampung Gunung Mesah Hilir di sini yang mengusahakan kelamai sejak tiga tahun lalu berkata, juadah yang dipelajari daripada arwah ibunya itu diperbuat daripada beras pulut yang dibasuh bersih serta dijemur selama satu hari di bawah panas matahari, sebelum dikisar halus.

"Selain itu, gula merah dan gula putih, santan yang dimasak sehingga menjadi tahi minyak serta kerisik yang perlu diadun terlebih dahulu dan diperap selama tiga hari di dalam periuk, sebelum dimasukkan ke dalam buluh aur iaitu sejenis buluh hutan yang boleh didapati di hutan sekitar kawasan tepi sungai.

Iklan

"Buluh ini tidak perlu dibasuh seperti buluh lemang, buluh ini lebih tebal dan bersaiz besar selain mempunyai ruas yang pendek, dan dipotong mengikut panjang yang sesuai sebelum diraut nipis kulitnya serta ditebuk di dalamnya untuk mengisi ramuan yang telah diperap," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, hari ini.

Haris Fadilah yang mengusahakan kelamai bersama isterinya Norizan Dollah, 49, itu turut dibantu tiga orang anaknya, telah menerima tempahan lebih 500 batang sempena musim perayaan tahun ini, yang disambut ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP).

Iklan

Harga sebatang kelamai adalah RM20 hingga RM25 mengikut saiz buluh dan beliau menggunakan 100 kilogram beras pulut bagi penyediaan 500 batang kelamai yang dibakar secara berperingkat-peringkat mulai hari ini, sehingga akhir Ramadan.

"Alhamdulillah, daripada segi permintaan sangat menggalakkan sehingga tidak menang tangan dibuatnya, dan terpaksa menolak tempahan yang dibuat pada saat akhir. Disebabkan tahun ini Aidilfitri disambut semasa tempoh PKPB, ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

"Jadi, kami menjualnya secara dalam talian menerusi Facebook dan menggunakan perkhidmatan kurier, bagi proses penghantaran dan kami menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Singapura," katanya yang juga bekerja sebagai pemandu lori, di sebuah syarikat bateri kereta.

Sementara itu, Norizan turut berbangga menceritakan juadah kelamai hasil air tangan pasangan suami isteri itu, pernah menjadi antara hidangan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada dua majlis yang berasingan, di Gopeng tidak lama dahulu.-Bernama