KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tradisi membekalkan bingkisan kuih raya kepada warga kerjanya yang bertugas pada hari pertama Aidilfitri dengan mengagihkan sebanyak 10,260 bingki-san kuih raya berbanding 9,300 bingkisan kuih raya pada tahun lalu.
Pengagihan tersebut disempurnakan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kompleks Balai Islam An-Nur TNB, Ibu Pejabat TNB di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Wanita (Pelitawanis) TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu; Penaung Pelitawanis, Datin Seri Noraini Abdullah dan barisan pengurusan tertinggi TNB.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengagihan bingkisan kuih raya itu adalah tradisi sejak tahun 2005 sebagai penghargaan kepada warga kerja TNB yang dijadualkan bertugas pada hari lebaran.
"Terdapat warga kerja TNB yang terpaksa berjauhan dan tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Sebahagian besar barisan hadapan TNB bertugas tunggu sedia di lokasi kritikal seperti hospital dan stesen-stesen jana elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.
Amir Hamzah berkata, warga kerja TNB yang bertugas pada hari lebaran dianggap wira kerana mereka perlu memastikan operasi TNB kekal lancar sepanjang Aidilfitri.
"Peranan mereka bagi memastikan TNB dapat terus membekalkan elektrik sepanjang Syawal kali ini semakin penting disebabkan negara masih belum bebas daripada pandemik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Aidah berkata, peningkatan jumlah bingkisan kuih raya pada tahun ini disebabkan pengagihan kepada anggota kerja anak syarikat TNB, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berbanding hanya untuk warga kerja TNB di Semenanjung sebelum ini.