Ramadan yang paling sayu

Iklan
Ayob Khan (kiri) memberikan sumbangan kepada Mt Majik dengan ditemani isterinya, Basiah Tahir, 70, di rumah mereka di Rumah Imam Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di IPK Johor, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU -"Ini Ramadan paling sayu kerana sebagai seorang imam tidak dapat mengimamkan solat fardu, berbuka puasa dan solat tarawih di masjid seperti sebelum ini," ujar Imam Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Mt Majik Nawi, 74.

Beliau yang sudah 31 tahun berkhidmat di masjid berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Polis Depoh IPK Johor tidak dibenarkan melakukan kebiasaannya itu kerana menghidap gaut selain berisiko dijangkiti koronavirus (Covid-19) disebabkan faktor umurnya.

Iklan
Iklan

"Hati saya sedih dan meronta-ronta apabila setiap kali melihat imam kedua dan ketiga masjid ini pergi ke masjid setiap hari, kadang-kadang berlinang air mata bila mengenangkannya.

"Saya teramat rindu untuk ke masjid ini sejak tidak dibenarkan bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Iklan

"Bagi melepaskan rindu, saya hanya melihat masjid dari pekarangan rumah saya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menyampaikan sumbangan di rumahnya berdekatan masjid tersebut.

Majik merupakan seorang daripada 141 penerima Sumbangan Sempena Sambutan Aidilfitri Tahun 2020 Kepada Warga IPK Johor di IPK Johor.

Iklan

Majik yang mempunyai 16 anak dan lebih 50 cucu berkata, masjid itu mempunyai banyak nostalgia malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mencemar duli berkunjung dan bersolat di situ.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pecahan penerima melibatkan 20 balu anggota polis, 12 pesakit buah pinggang, 60 pembantu am pejabat, enam orang kurang upaya (OKU) dan 43 anggota yang terlantar sakit.

Sumbangan tersebut katanya, diberikan kepada 14 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Johor bagi meringankan beban penerima selain persiapan menyambut Hari Raya Aidilftri tidak lama lagi.

Katanya, seramai 26 penerima adalah dari IPK Johor, IPD Johor Bahru Selatan (18), IPD Batu Pahat (15), IPD Kluang (14), IPD Muar (13), IPD Pontian (12), IPD Seri Alam (sembilan), IPD Kulai (lapan), IPD Segamat (tujuh) dan masing-masing empat penerima dari IPD Islandar Puteri, IPD Tangkak, IPD Kota Tinggi dan IPD Mersing serta tiga penerima dari IPD Johor Bahru Utara.