KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta yang sedang memotong kenderaan lain dalam kemalangan di Kampung Demit di sini semalam.
Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari itu, mangsa, Man Mohd Nor,59, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta jenis Perodua MyVi yang berusia 19 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 1.05 petang.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal milik kawannya jenis Yamaha Ego dari arah Kubang Kerian menghala ke Panji.
"Apabila sampai di lokasi kemalangan iaitu di hadapan Gelanggang Futsal Demit, Jalan Raja Perempuan Zainab mangsa dipercayai dilanggar secara berhadapan oleh sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu pelajar terbabit.
"Pemandu tersebut dipercayai sedang memotong kenderaan lain di hadapannya dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan motosikal ditunggang mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh ke kiri jalan dan mengalami pendarahan di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di tempat kejadian pada jam 12.45 tengah hari.
"Keadaan jalan lurus berturap tar dua lorong dan terdapat garisan putih putus-putus di tengah jalan sebagai pembahagi haluan satu lorong arah bertentangan.
"Pelanggaran menyebabkan motosikal Yamaha Ego ditunggang mangsa mengalami kerosakan teruk manakala Perodua Myvi berwarna hijau itu tercabut penghadang sebelah kanan,” katanya.
Tambahnya, punca kemalangan dipercayai kerana kecuaian pemandu kereta yang memotong kenderaan lain di hadapan dan memasuki laluan bertentangan hingga melanggar mangsa secara berhadapan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.