PENYERANG Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe bakal menjadi bintang bola sepak dunia selepas era bintang Barcelona, Lionel Messi dan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.
Tonggak pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini berkata, Mbappe mempunyai segalanya untuk menjadi pemain terhebat dunia berdasarkan kualiti yang dimiliki pemain Perancis itu.
Chiellini, dalam bukunya berjudul 'Io, Giorgio' menceritakan kali pertama dia melihat permainan Mbappe dan terkejut dengan skil yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu.
"Siapa yang ditakdirkan untuk menjadi bintang dunia berikutnya dan jadi pengumpul Ballon d'Or selepas Ronaldo dan Messi bersara? Sudah tentu Mbappe, dia pemain yang unik.
"Pertama kali saya lihat dia di televisyen ketika dia bermain bersama Monaco di Liga Juara-Juara pada 2016. Dia sangat menakjubkan. Selepas separuh masa pertama berakhir saya tanyakan mengenai Mbappe kepada pengarah Juventus, Fabio Paratici,'Siapa dia? Dari planet mana?
"Fabio menjawab, dia tahu mengenai Mbappe seorang penyerang yang tak boleh dihentikan, dan dia baru berusia 18 tahun pada ketika itu," katanya.
Karier Mbappe terus melonjak sejak menjadi fenomena di AS Monaco pada musim 2016 dan menjadi pemain muda termahal ketika dibeli oleh PSG.
Harga mahal yang dilaburkan PSG itu berbaloi apabila dia menampilkan prestasi cemerlang dengan meledakkan 90 gol dan 49 bantuan gol dalam 120 penampilan buat kelab itu.
Malah, musim ini juga menyaksikan Mbappe menjadi penjaring terbanyak Liga Perancis dengan 30 gol daripada 33 perlawanan.
Chiellini turut mengakui kemampuan Mbappe semakin meningkat dan jauh lebih baik berbanding seorang lagi bintang PSG, Neymar.
"Sekarang dia sudah berusia 21 tahun dan sudah menjadi juara dunia. Kecepatan, teknik, dan sentuhannya semakin baik.
"Dia pemain yang sentiasa memberikan impak dan cukup konsisten. Dia memiliki masa depan yang cerah dalam bola sepak," katanya.