44 samseng jalanan digempur

Iklan
Sebahagian mereka ditahan dalam 'Op Lumba Haram/ Samseng Jalanan' di Parit 10 Sungai Panjang di Sabak Bernam petang semalam.

SABAK BERNAM - Polis mengeluarkan 110 saman atas pelbagai kesalahan melalui Op Lumba Haram/ Samseng Jalanan di Parit 10 Sungai Panjang di sini petang semalam.

Operasi yang bermula jam 4 petang hingga 7.30 malam itu diketuai seorang pegawai dan 16 anggota polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, seramai 40 penunggang motosikal dan empat pembonceng termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 14 hingga 23 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Agus Salim berkata, daripada jumlah yang ditahan sebanyak 13 saman membabitkan penunggang motosikal yang tiada lesen memandu.

"Jumlah tertinggi saman dicatatkan dalam operasi itu membabitkan 19 saman terhadap pemilik motosikal tiada cermin sisi manakala 18 saman tidak mempunyai nombor pendaftaran kenderaan," katanya.

Iklan

"Antara kesalahan lain dicatatkan ialah mereka menunggang motosikal bawah umur, tidak memakai topi kalendar, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan pelbagai kesalahan lain," katanya.

Beliau memberitahu, semua individu terbabit dan motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Katanya, dua individu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

"Seramai 38 individu akan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.