JAKARTA - Seorang wanita terkejut apabila menerima hadiah sebuah kotak kasut yang berisi mayat bayi lelaki di Terowong Ceger, Jakarta Indonesia.
Menerusi Detik News, dua suspek yang menunggang motosikal itu dengan sengaja memberi satu kotak kasut yang dibungkus dengan plastik merah kepada wanita berkenaan.
Sebaik sahaja menyerahkan kotak itu, suspek tersebut terus beredar dan menuju ke Lebuh raya Hamsam.
Menceritakan kejadian itu, wanita berkenaan memberitahu pada awalnya dia hanya menyangka barangan yang diterima daripada individu tidak dikenalinya merupakan sepasang kasut namun ketika memegang kotak itu dia terhidu bau busuk.
Curiga dengan bau tersebut, dia kemudian membuka kotak itu dan mendapati terdapat mayat seorang bayi lelaki sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Sebaik sahaja menerima laporan tersebut, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Polis Jakarta Timur Kombes Arie Ardiyan mengesahkan kejadian itu.
Pihak polis kini menyiasat tiga saksi untuk membantu siasatan bagi memberkas suspek sebenar.
Difahamkan, wajah suspek tidak dapat dikenal pasti kerana mereka memakai topeng.
Sementara itu, mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Soekanti untuk bedah siasat.