PUSAT - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengajak orang Islam mengambil keberkatan 10 terakhir Ramadan ini dengan menyegerakan kewajipan berzakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu menyebabkan kegiatan ekonomi terjejas dan ramai hilang punca pendapatan apabila tidak dapat berniaga, malah dan ada yang dibuang kerja.
Menurutnya, impak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP juga melahirkan sebanyak 18,000 asnaf segera (baharu) melalui data diperoleh daripada MAIWP.
"PPZ-MAIWP mempunyai tanggungjawab besar untuk terus mengingatkan orang ramai supaya bersegera tunaikan ibadah zakat.
"Kutipan zakat sangat diperlukan ketika ini untuk diagihkan kepada asnaf memerlukan termasuk asnaf baharu yang terkesan kerana PKP,” katanya pada sidang media Kempen Zakat 10 Terakhir Ramadan di Wisma PPZ-MAIWP Khamis lalu.
Katanya, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM690 juta termasuk zakat fitrah sebanyak RM5 juta tahun ini.
Beliau berkata, walaupun Ramadan tahun ini disambut dengan kelainan namun kesedaran untuk umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah masih tinggi dan menunjukkan peningkatan.
"Saya berharap kesedaran ini diteruskan untuk zakat harta juga. Pembayar zakat yang menghampiri tempoh haul juga boleh membuat bayaran awal. Ayuh sama-sama membantu mengurangkan beban,” katanya.
PPZ-MAIWP menyediakan saluran pembayaran melalui pembukaan kaunter di pejabat cawangan atau secara dalam talian bagi kemudahan orang ramai berzakat.
Sembilan kaunter PPZ-MAIWP termasuk dua di Putrajaya dan satu di Labuan akan beroperasi setiap hari bermula jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang.
Pembayaran diterima dalam bentuk tunai, cek, kad debit dan kredit perbankan Islam.
Pembayaran turut boleh dilakukan secara atas talian di www.zakat.com.my atau fitrah.zakat.com.my.
PPZ-MAIWP juga melantik ejen kutipan zakat dengan 14 perbankan internet selain Myeg, Pos Online, e-wallet, JomPAY, PayHalal dan lain-lain.
Kadar zakat fitrah Wilayah Persekutuan bagi tahun ini ditetapkan sebanyak RM5 dan RM7. Pembayar zakat boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing.
Sementara itu, Abd Hamid Md Isa, 60, yang bekerja sendiri berkata, zakat adalah tuntutan agama yang wajib disempurnakan.
"Saya mengajak orang ramai sucikan harta dengan berzakat kerana sebahagian daripada harta kita ada harta orang lain," katanya.
Aktivis, Abu Bakar Ab Jalal, 40, pula berpandangan kaedah pembukaan kaunter ketika musim Covid-19 memudahkan urusan orang ramai khususnya warga emas kerana tidak semua mahir menggunakan akses internet yang kebiasaannya menjadi pilihan anak muda.
Bagaimanapun, pensyarah, Ashaari Bain, 39, berkata, walaupun ada pilihan untuk membayar zakat secara dalam talian, beliau sudah biasa membayar di kaunter dan berkunjung sendiri ke PPZ-MAIWP.