KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 Jun ini untuk mendengar hujahan akhir pembelaan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam dram berisi konkrit lima tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 11 dan 12 Jun ini untuk penghujahan lisan dan klarifikasi selepas peguam Datuk Sheelan Arjunan yang mewakili lima daripada enam tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan berjumpa semua anak guamnya untuk menerangkan mengenai isi kandungan hujahan lisan sebelum menyerahkannya kepada mahkamah Jumaat ini.
Sheelan mewakili R Dinishwaran, A K Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan S Ravi Chandaran manakala peguam Datuk N Sivananthan mewakili pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran dan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Azman kemudian meminta pihak polis memberi masa kepada peguam untuk berjumpa semua anak guamnya yang hadir ke mahkamah hari ini untuk meneliti hujahan lisan berkenaan.
"Bagaimanapun, peguam perlu menjaga penjarakkan sosial ketika bertemu anak guam masing-masing agar tiada kluster baharu," katanya.
Pada 20 November 2017, Hakim Azman memerintahkan supaya enam lelaki membela diri terhadap pertuduhan membunuh Morais selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang Ravichandran, 49, serta empat penganggur Dinishwaran,28; Thinesh Kumar,27; Vishwanath, 30; dan Nimalan,27, dituduh membunuh Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais. - Bernama