KUANTAN - Seorang kelindan maut manakala pemandu cedera selepas treler membawa muatan simen kapur terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 43.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, V Kumaradas, 39, yang berasal dari Ipoh, Perak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala pemandu treler, T Mahendran, 39, yang cedera di bahagian mata dan kepala dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintenden Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal mendapati, treler jenis Scania itu dalam perjalanan untuk menghantar simen kapur dari Ipoh ke Kuantan.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri dan terbalik di atas konkrit penghadang jalan dalam keadaan keempat-empat tayar ke atas.
"Akibat kejadian itu, kelindan tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala pemandu pula dilapor cedera.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Kamarulzaman berkata, kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.