SHAH ALAM – Taktik seorang lelaki menyembunyikan dadah dalam pembersih hampagas bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila dia diberkas di sebuah rumah di Seksyen 32 di sini pada 12 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lelaki berusia 33 tahun itu diberkas di hadapan rumah berkenaan pada jam 10 malam.
"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai beg plastik berisi dadah dipercayai syabu seberat kira-kira 5.8 gram di rak dalam salah satu bilik di rumah itu.
"Kita juga turut menjumpai tujuh bungkusan dadah lagi yang disembunyikan dalam pembersih hampagas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.
Baharudin berkata, pihaknya percaya suspek telah lama menjalankan kegiatan itu disebabkan tindakan licik menyembunyikan dadah berkenaan.
"Dadah tersebut dipercayai dijual RM50 sebungkus dengan anggaran berat kira-kira 0.4 gram. Hasil rampasan dianggarkan bernilai RM12,650,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut mempunyai empat rekod kesalahan dadah dan jenayah.
"Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam kes berasingan, polis memberkas dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun serta merampas botol berisi cecair hitam sebanyak lima milimeter dan satu peket dadah disyaki ganja pada 14 Mei lalu.
"Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati mereka positif dadah dan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut, polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 30-an berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam di Klang pada Jumaat lalu.
"Kita menjumpai botol berisi cecair sama sebanyak 40 milimeter cecair dan kita kemudiannya telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Dato 'Abdul Hamid.
"Dalam serbuan itu, kita menjumpai 40 botol yang berisi cecair ganja berjumlah kira-kira 400 milimeter dengan setiap botol berharga RM230,” katanya.