BAYAN BARU - Lebih 30 peratus pemilik premis makanan masih tidak membenarkan pelanggan makan di kedai makan atau restoran walaupun kerajaan negeri telah membenarkannya sejak 15 Mei lalu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, pemantauan yang dibuat mendapati, ada pemilik premis yang masih berjaga-jaga untuk membenarkan makan di kedai (dine-in) demi keselamatan semua pihak.
Menurutnya, perkara itu merupakan perkembangan positif yang mana, ia merupakan inisiatif pemilik premis itu sendiri dalam usaha memutuskan penularan wabak Covid-19.
"Sejak 15 Mei lalu, dine-in fasa pertama sudah dilaksanakan yang mana, sektor perhotelan, pusat membeli-belah dan rantaian francais makanan segera dibenarkan untuk makan di premis. Hari ini, dine-in fasa kedua iaitu semua premis makanan dibenarkan menyediakan makan di kedai.
"Pemantauan mendapati, masih ramai pemilik premis yang masih tidak membenarkan pelanggan makan di kedai (dine-in). Mereka masih menunggu untuk melihat perkembangan semasa dan mungkin selepas itu, mereka membenarkan," katanya kepada media selepas membuat pemantauan di pasar raya Queensbay di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini, pihaknya amat berpuas hati dengan semua pemilik premis makanan sama ada di hotel, pasar raya mahu pun di kedai makan.
"Saya kagum apabila ada pemilik kedai yang mengambil inisiatif sendiri dengan membuat penghadang untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi ketika pelanggan berada dalam kedai. Meja juga diletakkan pada jarak minimum iaitu dua meter.
"Pada mulanya, kita bimbang keadaan menjadi tidak terkawal selepas membenarkan makan di kedai. Tetapi, apa yang berlaku sebaliknya apabila banyak premis masih tidak membenarkan antaranya restoran nasi kandar dan kedai makan kecil. Mereka lebih selesa dengan pembelian bawa pulang sahaja," katanya.
Tung Seang berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan sentiasa membuat pemantauan dan memberi pandangan dari masa ke semasa mengenai kebenaran makan di kedai.
"Terima kasih kepada semua pihak yang bersama MBPP, dan kerajaan negeri dalam memerangi Covid-19 ini. Kita akan tetap memperkukuhkan Pulau Pinang sebagai zon hijau sampai bila-bila. Selain itu, penggunaan sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak, aplikasi Penang Contact Tracer (PGCare) juga digunakan dengan baik.
"Banyak pemilik kedai sudah menggunakan aplikasi ini yang mana, ia mampu menggantikan keperluan prosedur operasi standard (SOP) untuk mendaftar nama setiap pelawat yang memasuki premis perniagaan.
"PGCare hanya akan merekodkan nama serta nombor telefon. Semua maklumat ini hanya boleh diakses oleh kerajaan negeri dan akan disimpan untuk 30 hari sahaja," katanya.