Cake gesa KPDNHEP segera lancar skim kawalan harga

Iklan
Yusrizal (kanan) mendengar penerangan yang disampaikan oleh Wan Ahmad Fauzi berkenaan harga ayam ketika melakukan pemantuan di Pasar Besar di sini hari ini.

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Kawalan Harga secepat mungkin bagi mengatasi kenaikan harga barang mentah menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, berdasarkan pemantauan, beberapa bahan mentah termasuk ayam dijual dengan harga yang tidak masuk akal sehingga mencecah RM13 sekilogram.

Iklan
Iklan

Katanya, selain ayam, harga cili merah juga naik dengan mendadak sehingga RM16 sekilogram berbanding RM11 sekilogram sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apa yang kita perhatikan, bekalan bahan mentah semuanya mencukupi namun harga barang pula berlaku kenaikan yang sudah pasti akan membebankan pengguna menjelang hari raya ini," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan harga di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, pihaknya menjangkakan kenaikan harga akan terus berlaku dalam tempoh sehari dua menjelang hari raya nanti.

"Oleh itu, saya berharap KPDNHEP dapat laksanakan skim tersebut secepat mungkin bagi memudahkan golongan peruncit menetapkan harga jualan bahan mentah kepada pengguna,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Peniaga Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharif berkata, KPDNHEP perlu memandang serius perkara itu bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna yang memang perlu membeli bahan-bahan mentah sebagai persediaan untuk menyambut hari raya.

"Kita juga menjangkakan jumlah pengguna yang datang ke pasar ini akan meningkat, tetapi saya harap pengguna dapat membeli dengan berhemah dan tidak membuat pembelian dengan kuantiti yang terlalu banyak. Jangan bimbang kerana semua barangan bahan mentah mencukupi," katanya.

Tambahnya, pengunjung pasar besar juga akan menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu masuk sebelum dibenarkan membeli barangan keperluan.

Bagi seorang penjual ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail,49, berkata, kenaikan harga ayam yang berlaku ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga ladang berikutan pandemik Covid-19 yang berlaku.

"Selepas kerajaan beri beberapa sektor untuk beroperasi semula, ada pihak ladang yang menaikkan harga bagi menampung kos kerugian yang mereka hadapi semasa PKP.

"Secara tidak langsung yang terpaksa menanggung akibatnya adalah pengguna. Di gerai saya, ayam dijual paling tinggi pun RM9 sekilogram, tetapi saya jangka ia akan naik lagi.

"Namun ia bergantung pada pihak ladang, sekiranya mereka menaikkan harga, kami pun terpaksa naikkan juga.Walau bagaimanapun setakat ini permintaan tetap ada walaupun tidak setinggi tahun lepas,” katanya.