SHAH ALAM - Memahami keperluan bayi dan ibu hamil, Pa&Ma sebagai jenama besar yang cukup diyakini golongan ibu kini tampil memperkenalkan satu lagi produk terbaharunya iaitu e-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta.
Nu Ideaktiv Sdn Bhd selaku penganjur berkata, usaha mewujudkan portal reviu pertama produk jualan barangan bayi, ibu hamil dan berpantang dari seluruh pelusuk tanahair di atas talian adalah hasil kejayaan pesta barangan bayi iaitu Pa&Ma Baby Fiesta 2019.
Menurutnya, e-Bazar Baby Fiesta ini lebih fokus dan memudahkan pencarian maklumat barangan keperluan yang dikehendaki di mana pelanggan boleh berhubung terus dengan peniaga yang membuka kedai online di e-Bazaar ini bagi membuat pembelian.
"Platform ini turut memainkan peranan sebagai portal reviu yang telus di mana pembeli boleh meninggalkan reviu dan pengalaman sepanjang berurusan dengan pengedar barangan tersebut selain mendapat maklumat reviu daripada barisan karyawan Pa&Ma yang prihatin terhadap keperluan bayi serta ibu.
"Ia menjadikan pencarian barangan menjadi lancar dan tersusun, selain turut menawarkan promosi jualan kilat atau ‘Flash Sale’ yang bakal diadakan untuk sebarang perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, pelanggan juga turut diberi peluang menyertai pelbagai pertandingan dan berpeluang memenangi barangan bayi dan ibu.
Katanya, pengusaha produk barang bayi dan ibu hamil yang berminat menempah slot kedai online dalam e-Bazaar by Pa&Ma Baby Fiesta ini boleh menghubungi pihak urusetia dengan segera.
"Ini merupakan satu lagi pilihan platform buat mereka untuk mempromosi dan menjual produk kepada pelanggan sasaran dengan lebih 4 juta pengunjung ke laman web Pa&Ma.
"Kami tidak mengambil sebarang komisen atas produk yang terjual, namun yuran tahunan paling minimum iaitu RM300 atau serendah 0.82 sen sehari akan dikenakan bagi urusan penyelenggaraan dan tawaran ini sah sehingga 31 Ogos 2020 sahaja,” katanya.