KOTA BHARU – Sebanyak 110 pek makanan asas diberikan kepada atlet di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan bagi meringankan beban mereka berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Penasihat Yayasan Che Mas, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, sumbangan melalui Yayasan Che Mas itu antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yayasan kepada masyarakat yang memerlukan.
"Kami terpanggil untuk memberi keperluan ini seperti beras, minyak masak, gula kerana tidak semua atlet mampu membuat persediaan Hari Raya,” katanya kepada Sinar Harian semalam selepas menyampaikan pek makanan kepada Pengarah MSN Kelantan, Muhammed Imran Mansoor
Sementara itu Muhammed Imran ketika dihubungi berkata, MSN Kelantan menghargai sumbangan tersebut terutama melibatkan mereka yang terkesan dengan Covid-19.
"Kita ada ramai atlet yang berpotensi tinggi dan menyerlah di peringkat negeri berada dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.
"Kerajaan negeri melalui pihak MSN sentiasa berusaha membantu atlet ini dengan pelbagai sumbangan dari Yayasan Che Mas ini memasuki fasa ketiga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
"Kami sentiasa mengalu-alukan bantuan daripada pelbagai pihak dan berharap dapat melonjakkan lagi semangat atlet untuk mengharungi dugaan seumpama ini,” katanya.
Imran juga memberitahu, walaupun dalam tempoh PKPB atlet di bawah kendalian mereka tetap melakukan latihan secara individu di rumah dan dipantau melalui sidang video oleh pengurusan MSNK serta jurulatih.