UKM Genap 50 tahun – Membina Bangsa

Iklan
Radzuan Ghazali
Hari ini 18 Mei 2020 (Isnin). Genaplah usia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 50 tahun sejak mula ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Tarikh bersejarah yang tidak luput dalam ingatan warga kampus UKM dan mereka yang pernah berjasa kepada sebuah universiti kebangsaan kerana genapnya usia 50 tahun penubuhan itu.

Mengingati sebuah petikan yang menggambarkan Jalan simpang siur menuju lembah Sungai Langat yang panjang, sulit dan penuh masalah, melalui bukit-bukit hasrat, tebing-tebing teguh nasionalisme dan kampung-kampung pemikir pejuang.

Ribuan rakyat Malaysia dari anak sekolah hinggalah kepada cendiakawan dan pemimpin negara mengiringinya dari detik puncak konsep mula tumbuh hinggalah ia tegak dan dapat membilang usianya.

Iklan
Iklan

Petikan keramat itu menggambarkan betapa pentingnya penubuhan sebuah universiti yang mempunyai sejarah dan peristiwa tersendiri untuk melihat anak bangsa dididik dengan menggunakan ilmu pengetahuan bagi mengubah masyarakat kepada kemajuan, kebaikan, ketinggian, keadilan dan kemakmuran.

Mengimbau kembali waktu dahulu hanya mempunyai tiga (3) buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam (FPI), Fakulti Sastera (kini Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) dan Fakulti Sains (Fakulti Sains dan Teknologi) kini telah berkembang dengan 13 buah fakulti.

Iklan

Fakulti-fakulti berkenaan ialah Fakulti Perubatan (1972), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (1974) telah digabungkan dengan Fakulti Pengurusan Perniagaan - 2004), Fakulti Pendidikan (1982), Fakulti Undang-Undang (1984), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (1984), Fakulti Sains Kesihatan (1992), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (1994), Fakulti Pergigian (1996), Fakulti Farmasi (2008) dan Graduate School Business (2008).

Setelah 50 tahun UKM ditubuhkan, universiti ini telah mengeluarkan 204,857 graduan prasiswazah dan siswazahnya yang berkhidmat di seluruh negara sama ada di sektor awam, swasta mahupun berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Iklan

UKM yang memulakan operasinya di Bangi sebagai Kampus Induk pada tahun 1977 berkeluasan 1,096.29 hektar menempatkan sembilan buah fakultinya manakala tiga lagi fakulti di sebuah kampus di Jalan Raja Muda Abdul Aziz iaitu Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi seluas 20 hektar manakala Fakulti Perubatan terletak di Cheras, Kuala Lumpur dengan keluasan 22.3 hektar yang turut menempatkan Hospital Canselor Tunku Muhriz.

UKM antara salah sebuah universiti penyelidikan yang mendapat status universiti penyelidikan di Malaysia pada tahun 2006 berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih empat dekad.

Selain itu, pernah mendapat Anugerah Kualiti Perdana Menteri (2006), memperolehi status Swa-Akreditasi pada 2010 dan status Universiti Autonomi pada Januari 2012.

Kini UKM memberi tumpuan pada lima pelan strategik untuk tahun 2019-2021 dengan 5 teras diberi penekanan iaitu teras penyelidikan, teras akademik, teras antarabangsa, teras bakat dan teras kewangan untuk warga universiti supaya lebih melonjak kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

UKM terus memastikan roh perjuangan para pelopornya terus subur dan segar kesedaran terhadap sejarah penubuhan UKM dibugar secara berterusan.

Justeru itu, menginsafi bahawa UKM adalah institusi harapan masyarakat, seluruh warga Universiti sama ada pelajarnya mahupun warga kerja perlu menyelami dan memahami keperluan rakyat menerusi persoalan yang berlegar dalam kehidupan bernegara selaras dengan peranan UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara.

UKM yang diterajui oleh Naib Canselornya ke-11nya iaitu Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor sentiasa bersiap sedia dalam memaju universiti ini untuk terus maju di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Memetik ucapan beliau di Majlis Konvokesyen UKM ke-47 pada tahun lalu (2019) menjelaskan, mandat negara diperjuangkan dan membuktikan bahwa UKM bukan sebarangan.

Katanya, UKM berada dikedudukan 160 dalam QS World Rankings dan tempat ke 41 dalam QS Asia University selain 1 peratus universiti terbaik di seluruh dunia.

Menurut beliau, penarafan ini telah mengangkat UKM di persada antarabangsa dan meletakkan Malaysia sebagai negara pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

Malah untuk meningkatkan keyakinan Universiti tersohor dan industri untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan aktiviti kesarjanaan bagi meningkatkan hasil kualiti, perkembangan ilmu pengetahuan, kepakaran, penyelidikan dan inovasi, jelas beliau.

UKM berbangga kerana sebagai sebuah universiti kebangsaan, universiti ini mendidik rakyat Malaysia sehingga ramai yang berjaya memimpin pelbagai sektor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tambah beliau.

Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam majlis konvokesyen berkata, kejayaan yang dicapai oleh UKM adalah didorong oleh komitmen yang tinggi semua pihak dan sokongan pelbagai pihak bagi UKM menentukan hala tuju yang tepat dan relevan dalam menawarkan pendidikan tinggi terbaik di negara.

"Adalah menjadi harapan semua rakyat Malaysia supaya UKM terus unggul dalam menerajui pendidikan tinggi berasaskan kepada acuan kebangsaan,” ujar baginda.

Canselor pertama UKM, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam Majlis Konvokesyen pertama UKM pada 23 Jun 1973 berkata, Universiti Kebangsaan adalah puncak dari usaha kita ke arah memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat yang ingin melihat bahawa bahasa ibunda mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang sewajarnya dalam usaha memenuhi keperibadian nasional.

Tegas beliau, UKM perlu menjadi pusat tapak semaian bagi melahirkan tenaga intelek yang mempunyai pandangan jauh untuk menggerak dan menyalurkan motivasi rakyat menuju hari depan yang lebih cerah, sambil menjamin kehidupan demokrasi serta hak-hak rakyat dalam negara yang progresif dan maju.

UKM perlu menyumbang tenaga dan fikiran bagi mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang dinamis dan progresif yang sanggup menerima perubahan yang sesuai dengan aliran zaman, katanya.

Hari ini sungguh bersejarah untuk warga UKM. 50 tahun telah kita kecapi. Banyak kejayaan diperoleh, namun bersedialah menghadapi akan datang kerana cabaran yang banyak perlu ditempuhi kerana andalah warga UKM yang akan mencorakkan kecemerlangan satu-satunya universiti kebangsaan di negara ini.

* Radzuan Ghazali ialah Ketua Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia