Buka peluang jadi huffaz

Iklan
Madrasah Tahfiz Ar Raudhah

HULU LANGAT - Mungkin sesetengah ibu bapa berhasrat untuk menghantar anak mereka mendalami ilmu agama namun terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan mereka tidak meneruskan impian berkenaan.

Salah satu faktor adalah disebabkan oleh kebanyakan madrasah di negara ini hanya mengutamakan pelajar berpotensi untuk diserap malah terdapat juga syarat-syarat lain yang membantutkan hasrat tersebut.

Iklan
Iklan

Namun begitu, Madrasah Tahfiz Ar Raudhah, Beranang cuba untuk membuka harapan baharu dan menjadi lebih terbuka apabila sanggup menerima mana-mana pelajar yang berhasrat untuk menjadi huffaz tanpa mengenakan syarat serta prosedur ketat.

Menurut pengasasnya, Datuk Mustapa Othman, pihaknya menerima semua pelajar beragama Islam yang berminat untuk mendalami al-Quran walaupun tidak mahir membaca kalam suci tersebut.

Iklan

"Kita sanggup terima untuk latih mereka ini dan kebanyakan pelajar yang menuntut di sini sememangnya tidak mempunyai latar belakang sekolah tahfiz,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sejak lima tahun beroperasi, madrasah berkenaan telah melahirkan seramai lebih daripada 20 orang huffaz yang kebanyakkan tidak mempunyai kemahiran membaca al- Quran.

Iklan

Beliau berkata, bagi individu yang tidak mahir membaca, tempoh masa yang diperlukan untuk menghafaz 30 juzuk al Quran kebiasannya adalah selama lebih daripada dua tahun.

"Ini bergantung kepada pelajar itu sendiri, sekiranya mereka fokus ia tidak akan makan masa begitu lama. Sebagai contoh, ada juga pelajar kami yang hanya ambil masa selama setahun untuk menjadi huffaz,” katanya.

Pentingkan pendidikan akademik

Dalam pada itu, Mustapa berkata pengurusan madrasah berkenaan turut menitik beratkan aspek pendidikan akademik malah pihaknya juga menyediakan pengajian asas bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik buat pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, bagi mata pelajaran lain, pihaknya menggalakkan agar pelajar terlibat untuk mengikuti kelas-kelas tuisyen yang beroperasi berhampiran madrasah tersebut.

"Pihak madrasah akan mengaturkan pendaftaran dan perkara-perkara berkaitan untuk tuisyen tersebut.

Berdasarkan rekod, ramai di antara pelajar kita yang menjadi huffaz telah berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajiran Tinggi (IPT),” katanya.

Mengulas mengenai keselamatan di madrasah berkenaan, Mustapa berkata, pihaknya telah melengkapkan aspek-aspek berkenaan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga telah mengadakan audit di madrasah berkenaan bagi memastikan setiap kriteria keselamatan dipatuhi dengan sebaiknya oleh pengurusan di sini.

Tambah Mustapa, madrasah berkenaan turut mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bawa pelajar ke Yala

Sementara itu, tenaga pengajar di madrasah berkenaan, Noorul Islam Fayzan berkata, antara aktiviti yang dirancang pada tahun ini ialah untuk membawa pelajar-pelajar madrasah berkenaan untuk bertalaqi bersama guru-guru di Madrasah Madinatul Nur, Yala pada Ramadan tahun ini.

Maklumat lanjut hubungi 03-87246115/013 3361199.