PUTRAJAYA - Keputusan sama ada saman akan dikenakan ke atas kenderaan yang rentas negeri tanpa kebenaran polis akan diputuskan esok selepas dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertimbangan itu terpaksa dibuat bagi memastikan tidak berlaku penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) pada musim perayaan.
"Sekarang kita hanya memberi nasihat supaya berpatah balik tetapi (kerajaan) mungkin akan menguatkuasakan kaedah seperti saman.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bimbang kes akan meningkat dan kita telah lihat negara lain yang ada perayaan kes akan meningkat.
"Jadi kita akan berbincang dalam mesyuarat MKN esok untuk melihat kepada tindakan penguatkuasaan," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang menyambut hari raya di kampung.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham turut memaklumkan KKM akan berbincang untuk menguatkuasakan undang-undang melarang kanak-kanak mengunjungi tempat awam dan hospital tanpa keperluan mendesak.
Katanya, anak-kanak khususnya yang berusia 12 tahun ke bawah merupakan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 selain warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.