Polis Selangor lulus 21,956 permohonan rentas negeri

Iklan
Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala Karak. - Foto Bernama

SHAH ALAM – Polis Selangor telah meluluskan sebanyak 21,956 permohonan perjalanan rentas negeri sejak 6 Mei hingga semalam.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, ia melibatkan jumlah keseluruhan permohonan diterima iaitu sebanyak 24,188.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Polis Selangor juga telah menubuhkan pasukan untuk memantau sambutan perayaan agar masyarakat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Orang ramai boleh melaporkan kes jika mendapati ada individu yang tidak mematuhi garis panduan supaya tindakan dapat diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Iklan

Sementara itu, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan ke atas 17,616 kenderaan di sekatan jalan raya di negeri ini semalam dengan 377 kenderaan telah diarah berpatah balik kerana memberi alasan tidak munasabah.

"Daripada jumlah itu juga, sebanyak 270 kenderaan diarahkan patah balik dalam sekatan jalan raya di plaza tol di sempadan negeri,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, terdapat empat sekatan jalan raya rentas negeri dilakukan Polis Selangor iaitu di Hulu Selangor, Kajang, Sabak Bernam dan Sepang manakala sebanyak 10 sekatan jalan raya dilaksanakan di plaza tol melibatkan tujuh daerah.

Antaranya masing-masing dua di Gombak, Petaling Jaya dan Kajang, manakala satu sekatan jalan raya turut diadakan di Klang Utara, Sungai Buloh, Subang Jaya dan Kuala Langat.