Bursa Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi 11.21 bilion

Iklan
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini meningkat 0.48 peratus dengan jumlah dagangan di seluruh papan mencecah paras tertinggi sebanyak 11.21 bilion unit.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Victor Wan berkata, peningkatan jumlah dagangan itu disokong terutamanya oleh minat belian terhadap saham bernilai bawah seringgit, apabila sentimen mendapat rangsangan daripada haga minyak mentah tinggi ditambah dengan pembukaan semula perniagaan di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.72 mata atau 0.48 peratus lebih tinggi kepada 1,410.16 daripada paras penutup 1,403.44 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka 5.95 mata lebih kukuh kepada 1,409.39 dan berlegar antara paras 1,405.65 dan 1,416.94 sepanjang hari dagangan.

Iklan

Suasana pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 663 berbanding 331, manakala 348 kaunter tidak berubah, 533 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 11.21 bilion unit bernilai RM4.40 bilion daripada 9.23 bilion unit bernilai RM3.87 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Iklan

Menurut Victor, indeks utama disokong oleh belian meluas terutamanya dalam saham berkaitan dengan minyak dan gas dan pengeluar sarung tangan.

"Sementara itu, sentimen pelabur juga mendapat rangsangan daripada hakikat bahawa tiada sebarang berita buruk seperti peningkatan drastik kes baharu Covid-19.

"Bagaimanapun, keadaan pasaran masih kekal lemah buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kaunter berkaitan minyak dan gas Dialog meningkat sembilan sen kepada RM3.53 dan Petronas Dagangan naik 38 sen kepada RM20.06, manakala pengeluar sarung tangan Top Glove melonjak 12 sen kepada RM10.50.

Kaunter saham mewah berkaitan minyak sawit Sime Darby Plantation juga meningkat sembilan sen kepada RM4.70 dan KLK naik 34 sen kepada RM20.50.

Pada penutup, senarai kaunter paling cergas terus dikuasai oleh saham berkaitan minyak dan gas diterajui oleh Icon Offshore yang meningkat lima sen kepada 12.5 sen, Velesto naik tiga sen kepada 17 sen, Bumi Armada menambah 6.5 sen kepada 26 sen, KNM menokok enam sen kepada 24 sen dan Hibiscus naik 3.5 sen kepada 61.5 sen.

Kaunter untung utama ialah Bursa yang naik 87 sen kepada RM7.50 manakala kaunter rugi utama adalah Petronas Gas yang turun 18 sen kepada RM15.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 111.27 mata kepada 9,979.33, Indeks FBMT 100 naik 99.33 mata kepada 9,815.44, manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 165.86 mata kepada 11,299.91.

FBM ACE menokok 13.21 mata kepada 5,403.31 dan FBM 70 meningkat 339.03 mata kepada 12,330.44.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 85.85 mata kepada 842.21 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 63.88 mata kepada 12,331.09.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.71 mata kepada 121.59 dan Indeks Perladangan naik 136.52 mata kepada 6,333.68.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 8.70 bilion saham bernilai RM3.96 bilion daripada 6.92 bilion saham bernilai RM3.44 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 539.83 juta unit bernilai RM102.03 juta daripada 417.20 juta unit bernilai RM90.33 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 1.96 juta saham bernilai RM337.78 juta berbanding 1.89 bilion saham bernilai RM339.20 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 584.84 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (781.94 juta), pembinaan (920.61 juta), teknologi (399.26 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.04 juta), hartanah (451.02 juta), perladangan (187.14 juta), REITs (91.87 juta), dana tertutup (68,500), tenaga (4.57 bilion), penjagaan kesihatan (80.33 juta), telekomunikasi dan media (447.36 juta), pengangkutan dan logistik (137.52 juta) dan utiliti (73.97 juta). - Bernama