Bubur lambuk air tangan YB Norhizam

Iklan
Norhizam menunjukkan bubur lambuk yang disediakannya.

MELAKA - Bubur lambuk adalah antara juadah berbuka puasa yang menjadi pilihan ramai orang pada setiap kali Ramadan.

Sajian yang digemari semua peringkat umur dan boleh dianggap sebagai penyeri Ramadan itu seolah-olah menjadi tradisi apabila kerap dimasak di masjid dan kemudian diberikan secara percuma kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

Namun, keadaan itu berbeza pada tahun ini susulan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, walaupun tidak dapat menikmati bubur lambuk masjid seperti sebelum ini kerana penguatkuasaan PKP, namun sebagai penggemar bubur lambuk, beliau tidak ketinggalan untuk menjadikan makanan sihat itu sebagai juadah wajib ketika berbuka puasa.

Iklan

Lebih menarik, beliau berpeluang memasak sendiri bubur lambuk untuk diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

Menurutnya, cara penyediaan yang mudah dengan menggunakan bahan seperti campuran rempah, kacang, sayur-sayuran, hirisan daging, udang dan ayam sesuai dinikmati seisi keluarga kerana ia merupakan sajian yang lembut tetapi mengenyangkan.

Iklan

"Walaupun kali ini masjid tidak dapat menyediakan bubur lambuk percuma tetapi saya mengambil inisiatif sendiri dengan memasak dan kemudian mengagihkan di kawasan DUN Pengkalan Batu termasuk di Flat Peringgit yang banyak didiami golongan miskin, ibu tunggal serta warga emas.

"Bubur lambuk merupakan sajian tradisi yang kita tak boleh lupakan setiap kali Ramadan dan kerana itu saya juga beberapa kali memasak bubur lambuk menggunakan periuk besar untuk diberikan kepada golongan tertentu sebagai juadah berbuka,” kata beliau yang berasal dari Peringgit, Melaka.

*****

BUBUR LAMBUK

- 2 cawan beras yang direndam 15 minit

- Daging atau ayam

- Kentang

- Lobak

- Bawang besar

- Bawang putih

- Sedikit halia

- 1 setengah camca lada hitam

- 2 kiub pati ayam

- 1 paket rempah sup

- 1 paket kecil bawang goreng

- Daun sup dan daun bawang

- Santan

CARA MENYEDIAKANNYA

- Kisar bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis sehingga naik bau.

- Masukkan rempah sup.

- Masukkan daging atau ayam atau kedua-duanya.

- Masuk beras, air, lobak dan kentang

- Masukkan santan

- Masukkan bawang goreng, daun sup dan daun bawang.

- Biar mereneh selama 10 minit sebelum dihidangkan.