KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini meminta kerajaan menimbang pelanjutan moratorium enam bulan yang diumumkan pada 25 Mac lepas sehingga Disember tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, ini kerana ada anggota masyarakat yang akan menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan sebelum wabak Covid-19, khususnya bagi yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan serta perlu mencari kerja baharu.
Iklan
Iklan
"Pada masa sama mereka terpaksa melunaskan kesemua hutang terakru sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB),” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga berkata, sekiranya kerajaan bersedia menambah tiga bulan lagi kepada moratorium asal, mereka yang terjejas akan dapat kembali ke pasaran pekerjaan.
Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan selama enam bulan susulan penularan wabak Covid-19.
Penangguhan pembayaran balik pembiayaan itu melibatkan jumlah sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan bank tempatan menawarkan penangguhan sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana bermula 1 April. - Bernama
Artikel Berkaitan